EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bersama Anak Istimewa Selangor (ANIS) semasa lawatan ke Kidzania Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 18 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

30 anak istimewa dibawa ke Kidzania, selami dunia pekerjaan orang dewasa

PETALING JAYA, 18 JULAI: Seramai 30 murid berkeperluan khas dari pusat prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS) dibawa ke Kidzania Kuala Lumpur di sini hari ini bagi menyelami dunia pekerjaan orang dewasa dalam pelbagai sektor.

EXCO kebajikan masyarakat berkata program anjuran Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) mendedahkan kanak-kanak istimewa berusia lima dan enam tahun dengan simulasi pekerjaan seperti bomba, doktor, polis juga pegawai bank.

Anfaal Saari yang ditemui selepas lawatan itu mengakui keterujaan kanak-kanak terbabit sepanjang dua jam mengikuti aktiviti disediakan di pusat menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan.

EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari beramah mesra bersama Anak Istimewa Selangor (ANIS) semasa lawatan ke Kidzania Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 18 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Ini peluang untuk memperkenal anak-anak kurang upaya merasai pengalaman seperti anak normal. Seperti kanak-kanak biasa, pastinya mereka teruja lihat ada bermacam pekerjaan di sini,” katanya.

Sementara itu, guru prasekolah ANIS Farah Hanis Zakaria berkata lawatan ke Kidzania melatih lima murid jagaannya untuk membiasakan diri dengan aktiviti luar termasuk mengawal emosi dan tingkah laku di tempat awam.

“Murid saya ada yang menghidap gangguan hiperaktif defisit perhatian (ADHD) serta mild dan moderate autisme. Jadi kita bawa mereka ke sini untuk biasakan diri dan meneroka aktiviti berkait aspek pekerjaan atau cita-cita,” katanya.

Bagi Pegawai Pemulihan Perubatan (Cara Kerja) ANIS Nurul Husna Shuib, inisiatif itu mampu meningkatkan keyakinan ibu bapa yang memiliki anak kurang upaya (OKU) untuk membawa mereka ke tempat berkenaan pada masa akan datang.

Anak Istimewa Selangor (ANIS) bergambar bersama guru selepas lawatan ke Kidzania Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 18 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kita boleh nampak sisi lain anak-anak ini apabila berada di sini. Mereka teruja dan faham proses untuk menyiapkan kerja sebelum dapat gaji.

“Jadi sedikit sebanyak beri keyakinan kepada ibu bapa memandangkan ada kalangan penjaga sangat takut bawa anak istimewa mereka ke tempat begini. Di sini kita sudah buktikan sebaliknya,” katanya.

Beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang, Kidzania Kuala Lumpur memberi peluang kepada individu berusia empat hingga 17 tahun meneroka dunia orang dewasa dalam sebuah bandar berskala kanak-kanak.

Lebih 100 jenis pekerjaan boleh dipilih kanak-kanak mengikut minat dengan setiap peranan mengajar mereka kemahiran tertentu seperti kerjasama, komunikasi, penyelesaian masalah, kreativiti dan tanggungjawab.

Setiap aktiviti dalam sektor seperti perubatan, perkhidmatan, kecergasan, perindustrian, seni dan hiburan serta perbankan memerlukan masa antara 15 hingga 45 minit untuk disiapkan.


Pengarang :