AGENDANASIONAL

4,000 ruang niaga MyKiosk disasar dibina tahun ini

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi menjayakan inisiatif MyKiosk 2.0 dengan penyediaan 4,000 unit ruang niaga di seluruh negara.

Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata insiatif itu bertujuan memulih dan meningkatkan taraf ekonomi penjaja serta peniaga kecil dengan penyediaan ruang niaga kondusif, seragam dan terletak di tempat tumpuan awam.

Datuk Aiman Athirah Sabu berkata setakat bulan lalu sebanyak 2,977 unit MyKiosk disediakan dengan peruntukan RM74.4 juta yang disalurkan menerusi 83 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.

“Usaha ini diyakini mampu memperkasakan komuniti terlibat, membantu menambah aktiviti dan meningkatkan daya ekonomi setempat,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Karang Kapten Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi yang ingin tahu perkembangan pelaksaan MyKiosk di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut katanya diperkenalkan tahun lalu menerusi peruntukan RM50 juta, program berkenaan mendapat sambutan baik daripada penjaja dan peniaga kecil dengan 3,189 MyKiosk dimanfaarkan.

Katanya MyKiosk 2.0 melalui beberapa aspek penambahbaikan spesifikasi ruang niaga termasuk reka bentuk, struktur bahan lebih berkualiti dan penggunaan panel solar.


Pengarang :