EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor Ir Izham Hashim bercakap ketika sidang media henti tugas sementara empat Loji Rawatan Air (LRA) di Bangunan SUK, Shah Alam pada 23 Julai 2024. ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Air bersih disalur mulai 8 pagi esok, bekalan pulih sepenuhnya Jumaat

SHAH ALAM, 23 JULAI: Bekalan air bersih dijangka disalur secara berperingkat mulai jam 8 pagi esok di tujuh daerah terjejas akibat henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA).

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata pihaknya menjangka bekalan air di semua kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur pulih sepenuhnya Jumaat ini.

“Pengagihan air melibatkan LRA Rantau Panjang mula dilaksanakan bermula pukul 6 petang tadi manakala tiga Sungai Selangor Fasa (SSP) dijangka pada 8 pagi esok (24 Julai).

“Kawasan kediaman yang mempunyai tekanan air rendah mengambil sedikit masa namun sebahagian besar pengguna akan mendapat bekalan air dalam tempoh 24 jam,” katanya pada sidang media di bangunan pentadbiran negeri di sini hari ini.

Izham berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga turut menggerakkan aset mereka bagi mengagihkan bekalan air kepada pengguna di kawasan yang terjejas.

Kadar pencemaran bau Sungai Kuang, Sungai Kundang, Sungai Sembah dan Sungai Selangor mencatatkan bacaan sifar TON (nombor bau nilai ambang) setakat 9.45 malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan bacaan sama turut direkod tiga kali di muka sauk empat LRA terlibat bermula jam 2 petang tadi.

Susulan pencemaran bau Sungai Kuang, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :