Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (tengah) menandatangani banner sebagai solidariti kepada Faisal Halim diperhatikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Nazli Md Taib (kanan) pada pada Malam Solidariti Faisal Halim Bersama MPKj dan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor di Stadium Kajang pada 17 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Altimet: Sumbang separuh royalti tanda solidariti kepada SFC

SHAH ALAM, 1 JULAI: Wakil rakyat Lembah Jaya menganggap sumbangan separuh kutipan royalti harta inteleknya tahun ini kepada Selangor FC (SFC) bagi membayar denda sebagai tanda solidariti.

Altimet yang merupakan penyanyi dan komposer berkata sumbangan juga tanda membalas budi memandangkan selama ini skuad Gergasi Merah sering menampilkan aksi menarik.

“Ini sebagai tanda solidariti. SFC lebih daripada mampu untuk bayar denda tapi ini untuk tunjukkan sokongan kita kepada industri sukan yang selama ini juga dianggap hiburan.

“SFC banyak bagi hiburan dan ini untuk balas budi selain kita beli jersi, barang-barang lain. Ini menunjukkan solidariti.

“Sejak jadi Ahli Dewan Negeri, saya tak perlukan sangat royalti ini…datang pun dari industri hiburan jadi kita pun bantu hiburan sukan,” katanya pada program Hai Selangor hari ini.

Menerusi laman X minggu lalu, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad menawarkan sumbangan berkenaan sekiranya SFC sudi selepas pasukan dikenakan hukuman denda RM100,000 susulan penarikan diri pasukan pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT pada 10 Mei.

Bagaimanapun Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengurangkan hukuman berkenaan kepada RM60,000 selain membatalkan pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 yang dikenakan ke atas pasukan itu.

Dalam pada itu, Altimet berkata hukuman dikenakan MFL kepada SFC memberi impak positif dalam menyatupadukan penyokong bola sepak tempatan dan ia dapat dilihat menerusi kutipan tabung solidariti ditubuhkan Kerajaan Negeri.

“Saya rasa ini menunjukkan bahawa peminat Selangor FC bertambah dan makin setia. Kalau tak silap saya, statistik jualan jersi tinggi di Malaysia adalah Selangor.

“Nampak momentum itu ada, kesetian itu ada dan rasa sayang itu ada,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, MFL menimbang semula hukuman yang dikenakan terhadap SFC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Selain pengurangan denda dan tiada pemotongan mata, larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut ditarik balik dan penonton dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan itu.

MFL berkata tempoh rayuan diberikan kepada SFC adalah tiga hari bermula 27 Jun seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.

 


Pengarang :