Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim pada Majlis Mengangkat Sumpah dan Menandatangani Watikah Pelantikan Datuk Bandar Ke-4 Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 23 Julai 2024.
PBTSELANGOR

Amirul Azizan angkat sumpah datuk bandar Subang Jaya keempat

SUBANG JAYA, 23 JULAI: Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) keempat, berkuat kuasa hari ini.

Majlis tersebut disaksikan Timbalan Datuk Bandar Mohd Zulkurnain Che Ali; Timbalan Setiausaha Ismail Salim; Ahli Dewan Negeri Serdang Abbas Salimmi Azmi; Ketua Polis Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat, Ketua Polis Serdang ACP AA Anbalagan, pengarah jabatan dan barisan ahli majlis.

Amirul Azizan, 47, pernah berkhidmat sebagai yang dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat sebelum ini. Beliau melapor diri di MBSJ bagi menggantikan mantan Datuk Bandar Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim yang kini berkhidmat di Majlis Bandaraya Shah Alam.

Amirul Azizan ketika berucap memaklumkan mahu mengekalkan momentum kecemerlangan MBSJ sekali gus menambah baik perkhidmatan kepada rakyat seiring dengan kenaikan kadar nilaian baharu cukai taksiran tahun hadapan.

Beliau yang berkhidmat 22 tahun dalam jabatan kerajaan bercadang mahu mewujudkan sistem myWhatsApp khas kepada penduduk Subang Jaya untuk membuat sebarang aduan terus kepada jabatan berkaitan.

“Kita akan bagi telefon pintar kepada 21 jabatan MBSJ dan akan ada orang bertanggungjawab untuk menjawab segala aduan atau cadangan mahupun makluman daripada penduduk menerusi WhatsApp.

“Kaedah ini sedikit berbeza dengan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) kerana sistem ini penduduk boleh terus membuat laporan kepada jabatan yang berkaitan dengan aduan mereka. Saya percaya kaedah ini lebih cepat dan mudah,” katanya.

Amirul Azizan turut merakamkan penghargaan kepada legasi kepimpinan yang dipertua dan datuk bandar MBSJ sbeelum ini yang berjaya meletakkan pihak berkuasa tempatan itu pada satu tanda aras pengurusan bandar yang tinggi.

“Insya-Allah, saya akan memikul tanggungjawab yang diberikan pihak berkuasa negeri dalam memacu MBSJ supaya terus cemerlang, gemilang dan berdaya saing.

“Dengan harapan dan aspirasi baharu, kita akan bersama menggembling idea dan tenaga untuk mengembalikan keyakinan kepada pemegang taruh dan masyarakat dalam kawasan MBSJ,” katanya.

Untuk rekod, Amirul Azizan dilahirkan di Sentul, Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan di Victoria Institution, Kuala Lumpur kemudian melanjutkan pendidikan tinggi dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sarjana Muda Sains (Saint Louis University, St Louis, USA).

Beliau juga pernah berkhidmat antaranya di Kementerian Pertahanan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Perbendaharaan Malaysia, Perbendaharaan Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.


Pengarang :