Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi (kanan) mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Sheikh Abdullah Amirul Sheikh Abu Bakar yang terlantar selepas terlibat kemalangan jalan raya pada 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar hulur sumbangan kepada remaja terlantar akibat nahas

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada keluarga Sheikh Abdullah Amirul Sheikh Abu Bakar yang terlibat nahas jalan raya tahun lalu.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Anwar berkata Sheikh Abdullah Amirul kini terlantar di katil dan tidak dapat memberikan sebarang tindak balas akibat nahas itu dan beliau dimaklumkan kos rawatan remaja itu mencecah ribuan ringgit sebulan.

“Lebih memburukkan keadaan apabila bapanya, Sheikh Abu Bakar pula diberhentikan kerja sekali gus menjejaskan kewangan keluarga.

“Saya amat terkesan dengan situasi yang menimpa keluarga ini. Mendoakan kesembuhan berkekalan buat adik Sheikh Abdullah Amirul. Semoga Allah SWT memudahkan urusan dan mengurniakan kekuatan buat keluarga ini mendepani ujian, insya-Allah,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata sumbangan itu, yang bertujuan membantu meringankan kos perubatan dan kehidupan seharian keluarga tersebut, disampaikan oleh Setiausaha Politiknya Ahmad Farhan Fauzi yang mewakili beliau.

– BERNAMA


Pengarang :