Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kerja Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 2 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar seru generasi muda bantu angkat martabat negara

PUTRAJAYA, 2 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Malaysia berpotensi untuk terus mara ke hadapan dan menyeru generasi muda untuk bersama-sama membantu usaha mengangkat martabat negara.

Perdana Menteri berkata beliau mempunyai cita-cita dan keyakinan sangat tinggi untuk Malaysia dan mahu terus berkhidmat untuk negara.

“Saya mahu teruskan khidmat saya agar generasi penerus anak cucu kita lebih terjamin, bahawa negara ini diangkat martabatnya.. dan sebagai ‘orang tua’, saya hanya mampu menyeru saudara untuk melakukan sesuatu bagi menentukan kita terangkat ke peringkat berkenaan – itu sahaja,” katanya.

Berucap pada perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini Anwar berkata beliau memegang amanah yang diberikan rakyat dan berhasrat menyempurnakan tanggungjawab kepada negara yang kini sudah berkembang.

Bagi mengukuhkan asas ekonomi negara, beliau berkata beberapa perkara tunjang telah dilakukan termasuk usaha mengelak negara daripada kecurian, ketirisan dan rasuah.

“Sebab itu saya ambil sikap yang agak keras terhadap rasuah. Pimpinan negara, menteri tidak boleh campur dalam urusan kontrak dan tender, rundingan terus semua dibatalkan kerana kita sudah terbiasa dengan perkara ini.

“Seperti yang telah saya sebutkan awal-awal dulu, rasuah sedang menjadi endemik dalam negara ini, melainkan kita gunakan sumber kita untuk membanterasnya. Kita perlukan komitmen teguh untuk memerangi jenayah ini,” katanya.

Sementara itu Anwar sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang kerana mencatatkan jumlah kutipan hasil yang tinggi pada suku pertama tahun ini dan menggesa semua badan penguatkuasaan mengambil tindakan sama.

“Kalau kita susah payah buat penyasaran subsidi tapi bidang penguatkuasaan ‘kebocoran’ masih diteruskan, ia tidak adil. Ia mengundang satu malapetaka kepada negara, sebab itu saya harap kita sama-sama jalankan tugas ini dengan baik, untuk kembalikan kepada rakyat,” katanya.

Pencapaian kutipan cukai LHDN Pulau Pinang sehingga 31 Mei tahun ini ialah RM3.54 bilion, iaitu kenaikan 101.8 peratus daripada unjurannya.

– BERNAMA


Pengarang :