EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada media selepas merasmikan Karnival Jelajah 3S Santai, Sihat, Sejahtera di Pengkalan Sabak, Sabak Bernam pada 27 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Atasi lebih 50 kes pencemaran sumber air setakat ini, kawalan dipertingkat 24 jam

SABAK BERNAM, 27 JULAI: Lebih 50 kes pencemaran sumber air dikesan di Selangor berjaya diatasi setakat ini, maklum EXCO alam sekitar.

Jamaliah Jamaluddin bagaimanapun berkata kebanyakkan kes pencemaran itu tidak menyebabkan tindakan henti tugas loji rawatan air (LRA).

“Banyak kes pencemaran air sebenarnya berlaku di Selangor setakat ini cuma tidak diuar-uarkan kepada orang awam kerana ia tidak melibatkan henti tugas LRA.

“Malah, pihak terlibat seperti JAS (Jabatan Alam Sekitar) dan LUAS (Lembaga Urus Air Selangor) juga mengoptimumkan langkah kawalan dan pencegahan 24 jam bagi menangani kes ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival 3S (Santai, Sihat, Sejahtera) yang diadakan di Pengkalan Sabak, Pekan Sabak di sini hari ini.

Petugas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan kerja mitigasi bagi memulihkan pencemaran bau Sungai Kuang pada 23 Julai 2024. Foto Facebook LUAS

Mengulas insiden pencemaran bau pada Isnin membabitkan sebuah kilang pemprosesan plastik di Kuang hingga menyebabkan LRA dihenti tugas, Jamaliah berkata, agensi terlibat baharu sahaja selesai menjalankan siasatan di tapak kejadian.

Beliau menjelaskan, setiap agensi melaksanakan perbincangan dalaman terlebih dahulu sama ada pesalah boleh didakwa atau disiasat mengikut enakmen agensi masing-masing.

“Pada minggu depan juga kita akan mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan bagi mengetahui perkembangan terkini mengenai kes tersebut,” katanya.

Tegas beliau, pihak terlibat disiasat mengikut Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta serta mandatori penjara tidak melebihi tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

“Oleh itu, saya perlu dapatkan maklumat daripada agensi berkaitan sama ada kes ini disiasat mengikut enekmen tersebut atau pun sebaliknya,” katanya.


Pengarang :