Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bahaya salah guna, penagihan dadah perlu dalam silibus peringkat sekolah

SHAH ALAM, 4 JULAI: Pendidikan khusus berkaitan bahaya penyalahgunaan dan penagihan dadah perlu dimasukkan dalam silibus peringkat sekolah, cadang Ahli Parlimen Gombak.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Dato’ Menteri Besar berkata ini kerana, pendidikan antara faktor besar penglibatan seseorang dalam kancah dadah.

“Angka terkini AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) mendapati 83,000 daripada 145,000 penagih dadah tahun lalu direkodkan mempunyai taraf pendidikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan ke bawah.

“Justeru saya harap agar silibus tentang penagihan dadah ini mula dimasukkan di peringkat sekolah supaya pencegahan dapat kita lakukan secara lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Terlibat selama 10 tahun selaku Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor, Amirudin berkata isu penagihan dan penyalahgunaan dadah menjadi keprihatinannya.

“Kita melihat kesan lanjutan daripada isu dadah bukan hanya penagihan dan penyalahgunaan tetapi turut mengheret mereka kepada jenayah lain seperti pembunuhan, rompakan dan kecurian,” katanya.

Justeru beliau yakin pendekatan masyarakat untuk terlibat sama dalam menangani penyalahgunaan dadah amat penting.

Selain itu katanya usaha pemulihan harus diselaras memandangkan ada pusat pemulihan menggunakan pelbagai pendekatan termasuklah kerohanian, psikologi dan perubatan.

“Peranan semua pihak termasuk komuniti, masyarakat, ibu bapa dan keluarga penting khususnya lanjutan selepas proses pemulihan bagi anak yang terlibat dengan dadah,” katanya.

 


Pengarang :