AGENDANASIONAL

Bank Dunia: Selangor capai status negeri berpendapatan tinggi

SHAH ALAM, 31 JULAI: Selangor muncul negeri baharu berpendapatan tinggi berdasarkan Laporan Bank Dunia, setakat Julai, kata pakar ekonomi Bank Dunia di Malaysia Dr Apurva Sanghi.

Negeri tersebut mencapai pendapatan negara kasar (GNI) USD14,291 (RM67,374), melepasi paras GNI per kapita peringkat negeri iaitu USD14,005 (RM66,026).

Empat negeri yang melepasi tahap sama ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Labuan melepasi tahap berkenaan dengan wilayah ibu negara tertinggi iaitu USD29,967 (RM141,279).

Kiraan Bank Dunia Malaysia berdasarkan data Keluaran Dalam Negara Kasar 2023 setiap negeri yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Awal bulan ini, Dr Apurva dalam laman X menjangka Malaysia mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030 jika kadar nilai tukaran mata wang ringgit kepada 1 USD kekal sekitar RM4.70.

Namun, beliau menambah keadaan tersebut tertakluk kepada purata pertumbuhan empat peratus dan kadar inflasi dalam lingkungan jangka panjang sekitar dua peratus.

Menurut data yang dilampir, Malaysia mencapai tahap pendapatan pertengahan atas sejak akhir akhir 1980-an tetapi belum mencapai peringkat ambang pendapatan tinggi.

GNI per kapita mengumpul jumlah keluaran penduduk sesebuah negara. Kekayaan negeri dibahagi bilangan penduduk, misalnya Selangor dihuni tujuh juta orang berbanding Sarawak kurang tiga juta penduduk.


Pengarang :