Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan Ketika persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 2 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bantuan sekolah agama rakyat berdaftar, geran RM5.36 juta disalur mulai bulan ini

SHAH ALAM, 3 JULAI: Bantuan geran berjumlah RM5.36 juta akan disalurkan kepada 874 institusi Sekolah Agama Rakyat (SAR) berdaftar seluruh negara mulai bulan ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata bantuan disalurkan Kementerian Kewangan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berdasarkan jumlah pelajar di SAR.

“Sebagai permulaan setakat ini, JAKIM akan menyalurkan peruntukan tersebut ke akaun 874 sekolah yang membuat permohonan tahun ini tanpa mengira negeri ditadbir Kerajaan Perpaduan atau pembangkang,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena Dato’ Ahmad Saad yang ingin tahu jumlah SAR di bawah JAKIM yang layak menerima geran bantuan daripada Kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata sehingga April lalu sebanyak 1,876 SAR berdaftar degan Sistem Maklumat Pendidikan Islam (Simpeni) Jakim.

“Sehingga Jun, Jakim menerima 874 permohonan geran yang dibuat menerusi pemegang taruh negeri masing-masing iaitu jabatan hal ehwal agama islam negeri,” katanya.

Mengulas lanjut katanya sejak 2003, Kerajaan ketika itu telah memberhentikan bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat namun Kerajaan Perpaduan ketika ini telah mengembalikan semula bantuan ini.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk menambahbaik serta memperkasakan SAR antaranya penyaluran peruntukan berjumlah RM150 juta bagi selenggara dan naik taraf institusi pendidikan Islam (IPI).

“Agihan pertama berjumlah RM50 juta telah diagihkan kepada IPI yang memohon melalui penegang taruh negeri dan ketika ini Jakim sedang menguruskan baki pruntukan sedia ada,” katanya.


Pengarang :