Pelajar teknologi automotif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa keseluruhan kereta yang ditenggelami air banjir termasuk pendawaian secara teliti. FOTO FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

China tawar 5,125 kuota latihan TVET kepada pelajar Malaysia

SHAH ALAM, 3 JULAI: Sebanyak 5,125 kuota menjalani Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawarkan 114 institusi di China kepada pelajar Malaysia untuk tajaan industri.

Timbalan menteri luar negeri berkata tawaran itu antara hasil lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke negara berkenaan baru-baru ini.

Datuk Mohamad Alamin berkata dengan perkembangan itu juga Malaysia bercadang menghantar lebih ramai pelajar dan tenaga pengajar ke negara itu bagi mengikuti latihan.

“Ia terutama ke Majlis Latihan Vokasional Hong Kong iaitu institusi terbesar dalam pendidikan, latihan vokasional dan profesional,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai yang ingin tahu hasil lawatan Timbalan Perdana Menteri ke China di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut Mohamad Alamin berkata lawatan sempena ulang tahun ke-50 hubungan dua hala antara kedua negara, Malaysia itu turut berkongsi mengenai kepesatan industri halal global.

“Semasa kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang mereka menyambut baik usaha Malaysia (dalam industri halal) dan menzahirkan kesungguhan untuk bekerjasama dalam pensijilan, perkhidmatan dan produk halal,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua juga bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa melibatkan kepentingan bersama termasuk bidang teknologi tinggi, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan semi konduktor.

Katanya Ahmad Zahid turut menggalakkan China meningkatkan pelaburan dan kerjasama sedia ada dalam sektor ekonomi dan sosial seperti projek utama Malaysia dan China termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Dua Negara Taman Berkembar.

“Kerjasama ini penting untuk merancakkan hubungan pelaburan dan perdagangan dengan China yang kini pada tahap sangat memuaskan.

“China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009 dan menyumbang sebanyak 17.1 pertaus daripada jumlah keseluruhan perdagangan global Malaysia,” katanya.

Lawatan Ahmad Zahid ke wilayah Shenzen dan Shanghai turut menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU), memorandum persetujuan (MoA) dan Surat Niat (LOI).

“Ia termasuk MoU antara Universiti Kuala Lumpur dan Huawei serta SKS Coach Builders Sdn Bhd dan Zhejiang CRRC Electric Vehicle Co. Ltd.

Selain itu MoA antara MARA Liner Sdn Bhd dan SKS Coach Builders Sdn Bhd serta LOI antara MARA Corporation Sdn Bhd dan China Electrical Equipment (CEE) International Company Limited,” katanya.


Pengarang :