Pelumba basikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang ketika beraksi dalam peringkat pusingan kelayakan acara pecut Olimpik Tokyo di Velodrom Izu pada 4 Ogos 2021 – Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dari Razif & Jalani hingga Azizulhasni, 15 wira julang Malaysia di Olimpik

Malaysia menyertai temasya sukan terbesar dunia ini sebanyak 16 kali sejak penyertaan pertamanya pada Olimpik Melbourne 1956.

Sejak itu, negara hanya sekali tidak mengambil bahagian kerana memulaukan Sukan Olimpik Moscow 1980 susulan membantah pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan.

Sukan Olimpik Rio 2016 merupakan penyertaan paling cemerlang kontinjen negara apabila berjaya membawa pulang empat perak dan satu pingat gangsa.

Sehingga kini, gelanggang badminton paling banyak menghadiahkan pingat buat negara dengan enam perak dan tiga gangsa.

Tiga daripadanya menerusi lagenda badminton perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei dengan tiga perak pada Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, sekali gus muncul sebagai atlet negara terbanyak meraih pingat.

Atlet lain mencatat pencapaian terbaik adalah bekas jaguh pecut negara, Datuk Dr M Jegathesan dalam acara 200 meter di Tokyo 1968 dan Mexico 1972, Ishtiaq Mubarak dalam 110m lari berpagar (Mexico 1 972).

Sukan seperti akuatik (terjun), badminton dan berbasikal ialah acara paling kerap disertai Malaysia.

Skuad hoki Malaysia juga lazim bertanding di Olimpik kecuali di temasya di Rom 1960, Seoul 1988, Athens 2004 dan Beijing 2008.

Bola sepak Malaysia juga dua kali layak Olimpik iaitu pada 1972 di Munich dan 1980 di Moscow.

Pingat pertama

Badminton menjadi penyumbang pingat pertama negara menerusi pasangan beregu legenda adik-beradik Razif dan Jalani Sidek apabila meraih gangsa pada Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Temasya berikutnya di Atlanta pada 1996, acara badminton sekali lagi menghadiahkan pingat buat negara. Ketika itu pingat perak menerusi beregu lelaki Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock serta gangsa melalui perseorangan lelaki, Rashid Sidek.

Malaysia gagal meraih sebarang pingat pada Sukan Olimpik Sydney 2000 dan Olimpik Athens 2004. Namun ketika di Athens penerjun negara Bryan Nickson Lomas mencatatkan sejarah menjadi atlet paling muda menyertainya pada usia 14 tahun.

Pada Sukan Olimpik Beijing 2008, Chong Wei muncul penyumbang pingat tunggal dengan meraih perak. Beliau sekali lagi meraih pingat perak acara badminton perseorangan lelaki apabila dikecewakan lawan sama Lin Dan dari China dalam Sukan Olimpik London 2012.

Pada temasya sama, penerjun Datuk Pandelela Rinong mencatat sejarah apabila menjadi atlet wanita pertama negara membawa pulang pingat Sukan Olimpik dengan meraih gangsa dalam acara 10 meter platform wanita.

Sukan Olimpik Rio 2016 merekod pencapaian terbaik Malaysia apabila memenangi empat perak dan satu gangsa.

Chong Wei meraih perak kali ketiga peribadi sekali gus menjadi atlet Malaysia memenangi pingat Olimpik terbanyak setakat ini.

Tiga lagi pingat perak dimenangi melalui badminton beregu lelaki Goh Wee Sherm-Tan Wee Kiong, beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan acara terjun 10 meter platform seirama Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong.

Pingat gangsa pula disumbang Datuk Mohd Azizulhasni Awang melalui berbasikal trek (keirin).

Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditunda pada 2021 berikutan pandemik Covid-19 pula menyaksikan Datuk Azizulhasni Awang meraih perak dalam acara sama, manakala pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik memenangi gangsa dalam badminton beregu lelaki.

 


Pengarang :