Petugas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan kerja mitigasi bagi memulihkan pencemaran bau Sungai Kuang pada 23 Julai 2024. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dasar kawalan pencemaran sungai perkasa projek urus air Selangor

Oleh Danial Dzulkifly

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Inisiatif Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melaksana Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) dan Prinsip Pencemar Membayar (PPP) memperkasa projek pengurusan sumber air negeri.

Ketua penolong pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai LUAS berkata Selangor satu-satunya negeri melaksana dasar itu yang digubal secara mampan bagi mengatasi pencemaran sungai dan melindungi aset perkhidmatan air.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Haslina Amer

Menurut Haslina Amer, melalui polisi tersebut kadar bayaran dikenakan kepada pihak industri atau premis perniagaan mengikut jumlah pelepasan efluen (sisi kimia atau kumbahan).

“Setiap premis yang diberi lesen perlu menjalani aktiviti perindustrian mengikut piawaian ditetapkan. Ia merangkumi mengawal selia kualiti efluen yang dibuang memenuhi garis panduan.

“Setiap kutipan bayaran melalui pelaksanaan polisi ini akan disalurkan untuk jalani pemulihan sungai yang tercemar mengikut konsep ‘water-to-water’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ekspo Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor di sini hari ini.

Haslina menambah, dasar ZDP juga terkandung di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1), melalui tema strategik pemacuan kelestarian di negeri ini.

Jelasnya lagi, LUAS turut mencadangkan pemain industri di negeri ini mengadaptasi penggunaan teknologi hijau berlandaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Matlamat LUAS adalah meningkatkan kelestarian alam sekitar dan kualiti air yang bersih di Selangor melalui penggunaan teknologi hijau.

“Inisiatif ini menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat dan kualiti air yang lebih baik untuk kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.

Oktober tahun lalu, LUAS mencadangkan pelaksanaan dasar ZDP bagi mengurangkan dampak pencemaran sungai menjelang tahun ini.

Agensi itu memaklumkan usul itu bagi mengemas kini Seksyen 44(1)(b) Enakmen LUAS 1999 dengan memasukkan garis panduan dan dasar baharu untuk mengatasi isu pencemaran air.

 


Pengarang :