AGENDANASIONAL

Dua anggota polis cedera selepas MPV dinaiki dilanggar orang awam

SHAH ALAM, 1 JUL: Dua anggota polis cedera selepas kereta peronda MPV dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta dipandu orang awam di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kayangan– Persiaran Bestari di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata dalam kejadian kira-kira 8.10 malam itu, kedua-dua anggota lelaki berkenaan sedang menuju ke pusat komersial Seksyen 7 di sini selepas menerima panggilan kecemasan membabitkan kes pergaduhan.

Beliau berkata mereka mengalami luka pada bahagian tangan dan muka serta bengkak pada kepala dan telah dibawa ke Hospital Shah Alam, manakala pemandu awam yang membawa Honda City itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika kejadian, MPV yang sedang menghala melintasi persimpangan tersebut dalam keadaan memasang siren dan lampu mata arah (beacon light), telah dilanggar di bahagian sisi kiri oleh kereta jenis Honda City yang bergerak lurus semasa lampu isyarat hijau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini tular rakaman kejadian itu di laman sosial yang memaparkan sebuah kereta peronda polis dilanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat.

– BERNAMA


Pengarang :