Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dua anggota polis ditahan bantu siasatan kes pemerasan wang

SHAH ALAM, 29 JULAI: Dua anggota polis ditahan dipercayai melakukan pemerasan wang terhadap warga asing di Jalan Taming Sari, Kajang, Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tangkapan dilakukan selepas polis memeriksa video tular memaparkan dua anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang itu dipercayai sedang memeras wang daripada seorang lelaki.

Beliau berkata kedua-duanya kini direman hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Polis kontinjen Selangor tidak akan melindungi mana-mana pegawai kanan, mahupun pegawai rendah yang didapati terlibat dalam kesalahan jenayah. Siasatan akan dijalankan sepenuhnya mengikut jenayah yang dilakukan tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular menerusi media sosial video memaparkan dua anggota polis dipercayai ketika sedang melakukan rondaan telah menahan sebuah kereta dinaiki warganegara asing dan telah memeras sejumlah wang daripada seorang lelaki.

– BERNAMA


Pengarang :