Kontraktor melakukan pembersihan secara berperingkat sebelum perobohan Stadium Shah Alam ketika tinjauan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Saipolyazan M Yusop pada 1 Julai 2024. FOTO ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Elak ganggu penduduk, Stadium Shah Alam diroboh guna kaedah konvensional

SHAH ALAM, 1 JULAI: Perobohan Stadium Shah Alam bermula hari ini dan prosesnya dijangka mengambil masa setahun, menurut Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata proses itu menggunakan dua jentera jenis hidraulik breaker iaitu kaedah konvensional tanpa bahan letupan bagi mengelak gangguan bunyi, habuk dan air terhadap penduduk.

“Kerja perobohan berlangsung selama setahun dan kita jangka bumbung bangunan mula dibuka penghujung bulan ini atau awal Ogos.

“Sejurus perobohan berada di peringkat pertengahan sekitar Oktober depan, kontraktor akan memulakan kerja tanah seperti tambakan bagi mempercepat proses pembinaan stadium baharu,” kata Saipolyazan M Yusop.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kerja perobohan stadium berkenaan di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Saipolyazan M Yusop ketika tinjauan perobohan Stadium Shah Alam pada 1 Julai 2024. FOTO ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

Saipolyazan menjelaskan MBI sentiasa memantau proses tersebut dan laporan dihantar setiap bulan bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual ditetapkan.

“Selain itu, MBI menyeru kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memerlukan kerusi untuk digunakan di stadium masing-masing boleh membuat permohonan kepada pasukan projek.

“Terdapat 86,000 kerusi di stadium ini dan kerja-kerja pembukaan bumbung dijalankan selepas semuanya selesai dibuka. Setiap PBT boleh memanfaatkan kerusi sedia ada dan kita akan asingkan kerusi yang rosak,” katanya.

Kontraktor melakukan pembersihan secara berperingkat sebelum perobohan Stadium Shah Alam ketika tinjauan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Saipolyazan M Yusop pada 1 Julai 2024. FOTO ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, MBI memaklumkan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.

Pengurus besar unit projek khasnya berkata fasa pertama membabitkan proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam dan dijangka selesai pada Disember 2026.

Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz menjelaskan fasa kedua pula dijadual bermula pada Januari 2027 membabitkan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi.

Fasa terakhir untuk pembinaan terminal bersepadu dan hotel pula dijangka dimulakan antara Januari 2028 hingga Disember 2029.


Pengarang :