Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Empat warga asing larikan lebih RM300,000 milik lelaki tempatan ditahan

SHAH ALAM, 3 JULAI: Empat warga asing termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki melarikan wang milik lelaki tempatan berjumlah RM360,966 atas urusan pembelian emas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua suspek berusia 24 hingga 37 tahun itu ditahan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di Persiaran TRX dan Jalan Razak Mansion di ibu negara pada 28 dan 29 Jun lalu.

Beliau berkata tangkapan itu membawa kepada penemuan wang tunai RM28,300, dua kereta, enam telefon bimbit, komputer riba, enam keping kad bank, kunci rumah dan tiga beg pelbagai jenis.

Terdahulu, Hussein berkata mangsa dijemput seorang daripada suspek lelaki untuk ke pejabatnya pada 24 Jun bagi bertemu seorang lagi suspek bagi melakukan urusan pembelian emas.

“Mangsa seterusnya dibawa menaiki kereta ke Jalan Sulaiman 1, Ampang dan diminta duduk di kerusi belakang bagi menyelia proses pengiraan wang berkenaan.

“Suspek kemudian secara tiba-tiba bertindak melarikan beg berisi wang tunai yang diletakkan di ruangan kaki tempat duduk penumpang hadapan dan menaiki sebuah lagi kereta dengan mangsa ditinggalkan dalam kereta yang berkunci,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi penjenayah tersebut adalah dengan menjanjikan emas kemudian melarikan wang ketika transaksi dilakukan.

Hussein berkata dua suspek kini direman hingga 12 Julai manakala selebihnya hingga 16 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :