EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen sempena majlis menandatangani perjanjian solar antara Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad (tiga, kiri) dan Ketua Retail Negeri (Selangor) TNB Berhad Ir Ahmad Barodi Che Noh (tiga, kanan) serta Pengarah Urusan GSPARX Sdn Bhd Elmie Fairul Mahsuri (dua, kiri) di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 25 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

EXCO: Jabatan, agensi digalak pasang sistem solar, bantu jimat tenaga

Oleh ALIFF HAIQAL MOHAMED

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri menggalakkan jabatan serta agensi kerajaan memasang sistem solar di premis atau bangunan masing-masing, kata EXCO Alam Sekitar.

Jamaliah Jamaluddin berkata selain membantu mengurangkan kos penggunaan tenaga, usaha itu juga dapat memberdayakan teknologi hijau.

Beliau berkata usaha menggalakkan pemasangan tenaga boleh diperbaharui itu sebelum ini lebih tertumpu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah namun kini diperluaskan ke agensi serta jabatan kerajaan.

“Saya rasa sekiranya kita nak menguar-uarkan memupuk kesedaran kepada orang ramai perkara yang paling penting adalah ia dilaksanakan kita dahulu, agensi kerajaan dalam membuktikan inisiatif seperti ini membawa manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian solar antara Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersama Tenaga Nasional Berhad dan GSPARX Sendirian Berhad di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam hari ini.

Majlis itu disempurnakan Pengarah Jais, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad bersama Ketua Retail Negeri (Selangor) TNB Berhad, Ir Ahmad Barodi Che Noh serta Pengarah Urusan GSPARX Sendirian Berhad, Elmie Fairul Mahsuri.

Mengulas lanjut kerjasama itu, Jamaliah memuji usaha Jais menjadi antara agensi awal melaksanakan pemasangan sistem solar di tanah dan bangunan bawah seliaan agensi itu.

Sementara itu, Mohd Shahzihan berkata Jais sentiasa komited dan menyokong usaha memperluas projek pemasangan sistem solar di negeri ini.

“Sehingga kini, 25 bangunan terdiri sekolah, pejabat agama, surau serta masjid telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan pemasangan sistem solar bersama syarikat ini.

“Jais mensasarkan lebih banyak bangunan di bawah seliaan agensi ini melaksanakan usaha itu pada masa hadapan,” katanya.


Pengarang :