Petugas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan kerja mitigasi bagi memulihkan pencemaran bau Sungai Kuang pada 23 Julai 2024. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

EXCO: Kebocoran tangki kilang plastik punca henti tugas LRA

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pencemaran bau di beberapa sungai di Selangor berpunca daripada kebocoran tangki dari sebuah kilang memproses bahan akrilik untuk dikitar semula di Kuang.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata susulan kejadian itu empat loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) terpaksa dihenti tugas.

Menurutnya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memantau lokasi kejadian dan mendapati wujud punca bau seakan asid yang datang daripada kilang tersebut.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor Ir Izham Hashim bercakap ketika sidang media henti tugas sementara empat Loji Rawatan Air (LRA) di Bangunan SUK, Shah Alam pada 23 Julai 2024. ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

“Semakan lanjut didapati adanya aliran cecair daripada kebocoran tangki menyebabkan bahan terjadual iaitu Poly Methacrylic Acid (PMAA) melimpah mengalir ke longkang dan parit sehingga ke Sungai Kuang.

“Justeru, pihak MPS telah mengenakan kompaun kepada pemilik premis tersebut dan akan melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kejadian tidak berulang,” katanya.

Bercakap menerusi Sidang Media Khas berkenaan isu tersebut di bangunan pentadbiran negeri semalam, Izham berkata premis itu beroperasi secara sah dan kejadian itu kali pertama berlaku.

“Buat masa ini kilang diarahkan menghentikan pelepasan cecair dan melaksanakan kerja pembersihan serta-merta.

“Kerajaan Negeri tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin memaklumkan susulan pencemaran bau itu LUAS membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap pihak terlibat.

Petugas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan kerja mitigasi bagi memulihkan pencemaran bau Sungai Kuang pada 23 Julai 2024. Foto Facebook LUAS

Setakat 9.45 malam tadi, LUAS merekodkan bacaan sifar TON (nombor bau nilai ambang) di Sungai Kuang, Sungai Kundang, Sungai Sembah dan Sungai Selangor serta empat LRA terlibat.

Air mentah berjaya disalurkan semula kepada LRA Rantau Panjang pada jam 3 petang, manakala LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), Sungai Selangor Fasa (2SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) pada jam 5 petang.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim pula berkata bekalan air bersih dijangka disalur secara berperingkat mulai jam 8 pagi ini dan bekalan semua kawasan pulih sepenuhnya Jumaat ini.

Susulan pencemaran bau Sungai Kuang, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :