Ng Sze Han menghadiri majlis pelancaran Kilang Korporat Chery yang juga fasiliti pemasangan tempatan (CKD) pertama di Asean bagi subjenama model kenderaan utiliti sukan (SUV) premium Jaecoo pada 18 Jun 2024. Foto Facebook Ng Sze Han
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Komitmen, kerjasama negeri mampu tarik lebih ramai pelabur

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kepercayaan syarikat luar untuk melabur di negeri ini semakin meningkat susulan komitmen dan kerjasama ditunjukkan pentadbiran, kata EXCO pelaburan.

Menurut Ng Sze Han, perkara itu dibuktikan dengan pelaburan dibuat Chery Auto Malaysia menerusi pembukaan kilang pemasangan kenderaan di bandar raya ini, baru-baru ini.

“Justeru Kerajaan Negeri akan terus komited dalam usaha meningkatkan lagi ekonomi negeri. Antaranya kita akan tingkatkan sektor utama seperti semikonduktor.

“Dalam masa sama kita akan membuka jalan dan peluang kepada industri maju seperti pembuatan automatif,” katanya kepada Selangorkini.

Bulan lalu, Pengerusi Chery Automobile Co Ltd, Yin Tongyue memaklumkan Chery Auto Malaysia melabur lebih RM1 bilion sejak tahun lalu di negara ini termasuk pembukaan kilang di Shah Alam.

Kilang yang beroperasi berhampiran kawasan pengeluaran tempatan itu bakal menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan dengan tambahan 1,000 jawatan di pusat jualan, servis dan alat ganti jenama kenderaan itu di seluruh negara.

Sebelum ini, syarikat gergasi teknologi Google turut melabur di Elmina Business Park, Sungai Buloh dengan nilai pelaburan sebanyak RM9.4 bilion sekali gus menawarkan peluang kerja bernilai tinggi.


Pengarang :