EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bersama Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Juwairiya Zulkifli dan Timbalan Perwakilan, Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) Malaysia YM Tengku Aira Tengku Razif (tengah) bergambar pada majlis perasmian Seminar Kependudukan Negeri Selangor (SKNS) 2024 di Hotel De Palma, Shah Alam pada 30 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

EXCO: Perkenal skim bantuan usaha tingkat kadar kesuburan, ringan beban keluarga

SHAH ALAM, 30 JULAI: Kerajaan Negeri memperkenal beberapa skim bantuan sebagai usaha meningkatkan kadar kesuburan (TFR) memandangkan negara merekodkan trend penurunan sejak 2010.

EXCO pembangunan keluarga berkata menerusi Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) dan Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar) inisiatif itu mampu meringankan beban keluarga yang berdepan aspek kewangan.

“Kita sediakan akses penjagaan anak selain beri sokongan subsidi seperti Asuh Pintar dan Tunas. Sudah bertahun skim ini diwujudkan untuk ringankan beban.

“Kita turut melihat aspek lain selain pemberian subsidi ini. Antaranya pelaksanaan waktu kerja anjal dan sekarang minta semua agensi untuk meneliti perkara ini berdasarkan data dan kajian,” kata Anfaal Saari.

Ditemui selepas merasmikan Seminar Kependudukan Negeri Selangor 2024, Anfaal memaklumkan pasangan suami isteri perlu memiliki lebih dua anak berikutan negara dijangka berdepan situasi penguncupan populasi pada 2072.

Katanya kadar TFR negeri juga terus menurun kepada tahap 1.6 pada 2022, berbanding 2.1 yang direkodkan pada 2010.

“Berdasarkan Laporan Perangkaan Penting 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Selangor tersenarai empat negeri merekodkan kadar purata terendah kelahiran dengan 1.4 manakala purata kebangsaan 1.6.

“Selangor juga mencatatkan penurunan 7.2 peratus bagi bilangan kelahiran hidup pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.

“Kedua-dua indikator demografi ini menunjukkan tahap kesuburan di Selangor berada pada tahap membimbangkan,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta isu bebas anak (childfree) yang dianggap sebagai trend dalam kalangan pasangan muda dihentikan kerana memberi kesan negatif kepada pembangunan negara.

“Bila berkahwin mesti mahukan zuriat dan ini juga ditekankan dalam Islam Maqasid Syariah iaitu tentang menjaga keturunan. Isu ini perlu dimatikan, diganti dengan kempen supaya bentuk kehidupan kekeluargaan,” katanya.

 


Pengarang :