SHAH ALAM, 3 JULAI: Pemain Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim kini sedang fokus menjalani rawatan pemulihan tangan kiri secara fisioterapi.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon berkata ia bagi memastikan pergerakan tangan pemain kebangsaan itu lancar dan berfungsi dengan baik.
“Alhamdulillah Faisal dalam proses pemulihan. Lukanya semakin kering dan mula jalani fisioterapi berat untuk pergerakan penuh tangan kiri. Sesi itu dijalankan sejak beberapa hari lalu.
“Insya-Allah pada minggu hadapan, Faisal dijangka boleh memulakan latihan larian untuk meningkat semula tahap kecergasan,” katanya ditemui pada majlis serahan kutipan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/PSX_20240703_180737-500x333.jpg.webp)
Sementara itu, Johan memaklumkan polis masih belum memberikan maklumat atau perkembangan terkini berhubung kes simbah asid yang berlaku terhadap Faisal pada awal Mei.
“Setakat ini, kami (Selangor FC) masih belum lagi menerima apa-apa perkembangan kes Faisal daripada pihak polis. Pasukan peguam Faisal juga masih menunggu laporan kes tersebut,” katanya.
Dalam kejadian 5 Mei lalu, Faisal atau dikenali sebagai Mickey melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/PSX_20240703_180554-500x333.jpg.webp)