SHAH ALAM, 31 JULAI: Gagasan Rumpun Selangor yang julung kali dianjur tahun ini akan diteruskan susulan sambutan menggalakkan daripada penduduk.
EXCO perpaduan berkata program tiga hari yang memberi peluang kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor mendekatkan diri dengan masyarakat akan ditambah baik dengan pelbagai pengisian bermanfaat.
“Setakat ini program sudah berlangsung di lima daerah. Kita nampak sambutan sangat baik dan Tengku Amir Shah nampak gembira bila berjumpa rakyat dan dapat melakukan aktiviti bersama-sama.
“Dapat bersarapan, berbual dengan semua. Ini beri pengalaman baharu. Begitu juga dengan rakyat. Ini satu peluang melihat Tengku Amir Shah secara berdepan.
“Minggu depan program akan diteruskan di Kuala Langat, diikuti Klang, Sabak Bernam dan penutup di Gombak. Kawasan Dato’ Menteri Besar dan beliau dijangka akan sertainya,” kata Dato’ Rizam Ismail kepada Selangorkini.
Wakil rakyat Sungai Air Tawar berkata satu program baharu yang mendekatkan Dato’ Seri Amirudin Shari dengan masyarakat juga bakal diadakan tahun depan.
“Ini merupakan idea beliau sendiri selepas melihat keberkesanan Gagasan Rumpun Selangor. Beliau mahu turun sendiri melihat rutin dan aktiviti rakyat lebih dekat dan bersama-sama sertai,” katanya.
Gagasan Rumpun Selangor membabitkan peruntukan RM4.5 juta diperkenalkan bagi meraikan kepelbagaian dan menyemarak semangat perpaduan di negeri ini. Setakat ini, program sudah berlangsung di Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang, Petaling dan Kuala Selangor.