AGENDAJENAYAH

‘Geng K-Boys’ aktif curi kereta mewah tumpas, perancang utama ada 16 rekod jenayah

SHAH ALAM, 2 JUL: Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah yang aktif mencuri dan menjual kenderaan mewah dikenali ‘Geng K-Boys’ dengan tertangkapnya lima lelaki dan dua wanita dalam serbuan di sekitar Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Perak pada 27 hingga 30 Jun lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata semua suspek yang berumur 31 hingga 54 tahun itu ditahan susulan satu laporan kejadian pecah masuk sebuah rumah di Kepong pada 24 Jun lepas.

Beliau berkata polis menerima aduan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki berumur 42 tahun yang mendakwa rumah sewa majikannya di Taman Ehsan, Kepong dipecah masuk dan kereta mewah Audi R8, Posche 718 Cayman serta Suzuki Swift dilarikan.

“Pada waktu kejadian, majikan kepada pengadu dikatakan berada di China dan kerugian dianggarkan RM700,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata berdasarkan maklumat yang diterima, pihaknya membuat serbuan di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Perak yang membawa kepada penahanan kesemua suspek termasuk ketua kumpulan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati perancang utama geng itu yang berusia 38 tahun mempunyai 16 rekod jenayah dan lima rekod kesalahan berkaitan dadah.

“Modus operandi kumpulan yang aktif sejak setahun lalu itu adalah dengan mengenal pasti rumah-rumah yang memiliki kenderaan mewah sebelum memecah masuk dan melarikan kenderaan. Selain selain untuk dijual, kenderaan itu juga digunakan ketika melakukan jenayah lain,” katanya.

Susulan tangkapan Hussein berkata polis merampas empat kenderaan mewah termasuk tiga yang dilarikan dalam kejadian di Kepong serta pelbagai peralatan jenayah.

Beliau berkata kesemua suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :