Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Ts Mustapha Sakmud bersama Pengerusi GPMS Negeri Selangor Mohd Hidayat Mohd Saufi bergambar bersama perwakilan selepas Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Selangor 2024 di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya pada 14 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

GPMS: Jelajah seluruh negara santuni mahasiswa anak Selangor

PUTRAJAYA, 14 JULAI: Program Jerayawara Siswa #KitaSelangor 2024 akan terus menjelajah ke seluruh negara bagi menyantuni mahasiswa anak Selangor di Universiti Awam (UA).

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor berkata menerusi program itu mahasiswa anak Selangor di UA akan diberi penerangan mengenai pelbagai inisiatif disediakan Kerajaan Negeri untuk manfaat mereka.

Mohd Hidayat Mohamad Saufi berkata selepas Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sains Malaysia (USM), program berkenaan dijadual diteruskan ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Ogos ini.

Pengerusi GPMS Negeri Selangor Mohd Hidayat Mohd Saufi berucap selepas Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Selangor 2024 di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya pada 14 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Fokus utama kita adalah menggerakkan agenda membawa program Kerajaan Negeri kepada mahasiswa Selangor (di seluruh negara).

“Kita mahu beri pendedahan dan penerangan kepada mereka program yang disediakan Kerajaan Negeri untuk anak-anak Selangor manfaatkan,” katanya hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian penutup dan minum petang sempena Mesyuarat Agung Tahunan GPMS Selangor yang disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ts Mustapha Sakmud di Dewan Zaaba Kementerian Pendidikan Tinggi, hari ini.

Mohd Hidayat berkata GPMS Selangor bergiat aktif dalam menjalankan program pendidikan dalam usaha membantu negara amnya dan Selangor khususnya untuk mendepani cabaran pendidikan global.

“Kita menitikberatkan perihal ekosistem dengan melaksana jaringan strategik dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, Yayasan Selangor, Menteri Besar Selangor Pemerbadanan atau MBI serta persatuan mahasiswa untuk menjayakan perkara ini.

Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Selangor 2024 di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya pada 14 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“GPMS Selangor juga membawa satu slogan iaitu ‘GPMS masa depan’ yang mana setiap perancangan dan inisiatif yang kita buat perlu seiring dengan keperluan semasa dan tidak boleh ditakuk lama,” katanya.

Terdahulu 190 perwakilan daripada 19 cawangan terlibat dalam mesyuarat agung itu untuk memilih pimpinan GPMS Selangor bagi penggal 2024-2026.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Ts. Mustapha Sakmud bersama Pengerusi GPMS Negeri Selangor Mohd Hidayat Mohd Saufi ketika Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Selangor 2024 di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya pada 14 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :