Bapa kepada bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, Zulkarnain Idros (kiri) dan isteri Hawa Osman bersujud syukur selepas Mahkamah Rayuan manjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut UPNM di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya pada 23 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Hakim: Diikat, ditekap seterika hingga tubuh melecur kes yang jarang berlaku

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lepas adalah kekejaman paling jarang ditemui dan mahkamah tidak akan bertoleransi dalam jenayah sebegini.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim ketika membacakan penghakiman setebal 93 muka surat selama tiga jam berkata ibu bapa mana tidak berasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat si mati (Zulfarhan) dikembalikan ke pangkuan mereka untuk dikebumikan dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati.

“Kes sebegini paling jarang ditemui daripada kes yang pernah berlaku (rarest of the rare) yang melibatkan jenayah kekejaman yang amat berbahaya kepada masyarakat dan perbuatan zalim sebegini harus dihentikan.

“Mahkamah tidak akan bertoleransi di dalam kejadian sebegini. Ibu bapa mana yang sanggup menanggung derita melihat anak kesayangan mereka diseksa sebegini rupa sehingga membawa kepada kematian si mati di dalam keadaan yang sungguh mengerikan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Panel tiga hakim itu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM kerana membunuh Zulfarhan tujuh tahun lepas, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi oleh kesemua tertuduh sebelum ini.

Keenam-enam bekas penuntut itu yang kini berusia 28 tahun ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Hakim Hadhariah di dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati kelima-lima tertuduh itu secara bergilir-gilir telah menekap seterika wap pada seluruh badan si mati (Zulfarhan) termasuk kemaluannya dan Abdul Hakeem pula bersubahat menghasut dan menyuruh kelima-lima tertuduh melakukan perbuatan berkenaan.

“Oleh itu kami sebulat suara memutuskan hanya satu hukuman sahaja wajar dijatuhkan kepada keenam-enam tertuduh di mana kesemua tertuduh ini hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

“Justeru itu, mahkamah mengetepikan hukuman penjara 18 tahun (dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi) terhadap keenam-enam tertuduh dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati,” kata hakim itu.

Sebelum ini, Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Sementara itu, panel tiga hakim berkenaan mengetepikan hukuman penjara tiga tahun ke atas 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan dan menggantikan hukuman itu dengan penjara empat tahun.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kesemua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.

— BERNAMA


Pengarang :