Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tiga kiri) menyerahkan sumbangan World Robot Olympiad International Final 2023 & World Robotics Competition Final 2023 ketika Majlis penyerahan Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan sumbangan dana pengurusan PIBG sekolah-sekolah daerah Hulu Langat di SMK Bandar Saujana Putra pada 31 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Harum nama Selangor, MBI peruntuk RM1 juta hargai kejayaan individu, kumpulan

KUALA LANGAT, 31 JULAI: Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM1 juta bagi menghargai mereka yang mengharumkan nama negeri.

Ketua yayasan MBI berkata insentif di bawah dana pengupayaan itu sebagai dorongan atau penghargaan atas kejayaan dalam pelbagai acara di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

“Selangor akan beri pernghargaan kepada individu atau kumpulan yang menaikkan nama Selangor atau negara di peringkat kebangsaan juga antarabangsa.

“Mereka boleh memohon untuk dapatkan sumbangan. Selain itu ada juga yang kita dapat maklumat dari media sosial, media cetak dan sebagainya,” kata Ahmad Azri Zainal Nor .

Beliau ditemui selepas menyempurnakan sumbangan penghargaan kepada pemenang Olimpiad Robot Dunia Antarabangsa Akhir 2023 dan Pertandingan Robotik Dunia Akhir 2023 di sini hari ini.

Sebanyak RM10,500 diperuntuk kepada 21 pemenang dari sekolah daerah Kuala Langat yang mengharumkan nama negara dalam kedua-dua pertandingan bertaraf dunia itu.

Selain itu katanya Kerajaan Negeri melalui Yayasan MBI turut memperuntuk RM890,000 untuk dana pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kepada 890 sekolah seluruh Selangor.

“Dana itu boleh digunakan untuk urusan menyuarat bulanan, pembelian alat tulis serta perkara yang berkaitan dengan pengurusan PIBG,” katanya.

Terdahulu Ahmad Azri menyempurnakan Majlis Penyerahan Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 kepada sekolah daerah Kuala Langat. PTRS tahun ini bakal memanfaatkan 130,000 pelajar tingkatan empat dan lima di lebih 230 sekolah seluruh Selangor.


Pengarang :