Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Nik Yusaimi Yussof (tiga, kanan) menunjukkan plat mencetak komik lucah ketika sidang media berkenaan Ops Cetak 1.0 Banteras Pelbagai Penerbitan Jelik di Putrajaya pada 3 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Hasil penerbitan, alat mainan seks bernilai RM1.2 juta dirampas, 50 individu ditahan

PUTRAJAYA, 3 JULAI: Sejumlah 19,924 hasil penerbitan dan alat permainan seks dirampas melibatkan nilai keseluruhan RM1.2 juta dalam Ops Cetak 1.0 yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di seluruh negara dari 1 hingga 14 Jun lalu.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata sepanjang operasi yang dijalankan di Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kedah itu, 1,759 premis diperiksa dengan 119 kertas siasatan dibuka.

Beliau berkata 50 individu membabitkan 47 lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing ditahan, berusia 20 hingga 90 tahun.

“Kita buat risikan dalam talian, di premis perniagaan yang dijadikan tempat simpanan dan penjualan hasil rampasan itu.

“Adalah menjadi kesalahan mengguna mesin cetak tanpa lesen sah atau memiliki hasil penerbitan yang dianggap jelik seperti buku, majalah, pakaian atau aksesori berkaitan perkara lucah iaitu ia bertentangan dengan nilai dan sosiobudaya masyarakat di negara ini,” katanya dalam sidang media berkaitan Ops Cetak 1.0 di sini hari ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan barang rampasan itu, 15,602 unit alat mainan seks bernilai RM540,000 dipercayai dibawa masuk dari China dan Jepun.

Beliau berkata KDN turut menyita mesin cetak di tiga premis cetakan haram di sekitar Seri Kembangan dan Klang, Selangor dianggarkan bernilai RM600,000.

“Tindakan ini diambil berdasarkan kepada peruntukan di bawah Seksyen 3(4) dan 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP 1984),” katanya.

Nik Yusaimi berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang terlibat dengan kesalahan memudaratkan kemoralan, ketenteraman awam, keselamatan negara atau menggemparkan fikiran orang ramai.

Katanya, individu terbabit aktiviti itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

– BERNAMA


Pengarang :