SHAH ALAM, 30 JULAI: Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd mengenalpasti 35,000 usahawan Platform Selangor (PLATS) berpotensi mendapatkan pensijilan halal.
Pengurus Besarnya Muhammad Syaril Showkat Ali berkata rata-rata daripada usahawan tersebut mampu mendapatkan sijil halal namun tidak diberi bimbingan secara jelas.
“September tahun lalu kita telah melihat perkara ini dan berbincang dengan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) untuk memasukkan elemen halal kepada semua usahawan PLATS.
“Pertama kita mahu membantu mereka mendapatkan sijil halal dan kedua berusaha mengembangkan pasaran domestik seterusnya menembusi pasaran luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program U-PLATS Halal Modul 4 di Auditorium, Pustaka Raja Tun Uda di sini semalam.
Muhammad Syaril menjelaskan, berdasarkan data dikongsikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) seramai 5,099 usahawan Selangor memohon sijil pengesahan halal Malaysia (SPHM).
“Daripada jumlah tersebut, 4,011 adalah dalam kalangan usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) iaitu bersamaan 78 peratus.
“Jumlah ini menunjukkan bahawa, sijil halal bukanlah sesuatu yang hanya boleh dilaksanakan oleh syarikat besar atau multinasional sahaja sebaliknya boleh dimohon semua peringkat perniagaan,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 9,162 peniaga menerima SPHM direkodkan pada tahun lalu dan 1,472 daripada jumlah itu berjaya mengeksport produk ke peringkat antarabangsa.
“Mereka menyumbang kepada RM53.7 billion nilai eksport produk halal dengan PMKS menyumbang sebanyak RM5.25 bilion.
“Maklumat ini berdasarkan laporan pelaksanaan Halal Industry Master Plan 2023 dan ia sekali gus ia menunjukkan peluang yang luas bagi usahawan
“PMKS yang memiliki SPHM untuk memasuki pasaran utama dan seterusnya berpotensi mengeksport ke pasaran antarabangsa,” katanya.
PLATS yang diperkenal susulan perintah kawalan pergerakan empat tahun lalu membantu golongan perusahaan kecil mikro sederhana untuk mengadaptasi pendigitalan dalam perniagaan.
HIS Toyyiba Sdn Bhd pula adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi menjadikan Selangor sebagai negeri bertaraf global dalam industri halal selain berfungsi sebagai agensi peneraju kepada tiga inisiatif Pelan Tindakan Halal Selangor 2020-2030.