EXCO Belia Najwan Halimi bersama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad ketika Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Ibu bapa diseru pupuk anak minat membaca, lahir generasi berilmu, kritis

SHAH ALAM, 25 JULAI: Usaha semua pihak penting dalam memupuk budaya membaca buku dalam kalangan golongan muda dan kanak-kanak sekali gus melahirkan generasi berpengetahuan.

EXCO Belia Najwan Halimi berkata membaca buku akan menghasilkan insan seimbang yang mampu berfikiran kritis dan berpengetahuan sekali gus memberi kesan dalam segala tindakan mereka.

“Cabaran membesarkan anak adalah mereka terdedah dengan gajet serta media sosial seperti TikTok dan YouTube hingga mengabaikan bahan bacaan. Di sini, ibu bapa berperanan untuk memupuk minat membaca seawal usia kecil.

“Membaca akan membentuk pemikiran kritis. Contohnya apabila membaca novel atau biografi ia membentuk minda imaginatif yang akan membentuk cara berfikir,” katanya berucap merasmikan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2024 di Kompleks PKNS, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Najwan berkata Selangor antara negeri peneraju dalam pembangunan industri buku termasuk penubuhan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama.

“Ini antara sumbangan besar Kerajaan Negeri dalam industri buku Malaysia ke arah memartabat budaya pembacaan,” katanya.

EXCO Belia Najwan Halimi bersama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad melawat rerurai ketika Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata sebanyak 135 reruai disediakan dan 100 pempamer mengambil bahagian dalam pesta buku berkenaan.

“Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM150,000 untuk pelaksanaan pesta buku ini.

“Dijemput semua untuk hadir dan bawa ahli keluarga ke sini. Pelbagai pengisian menarik termasuk program mengetengahkan bakat ilustrator muda melalui kolaborasi dengan ilustrator tanahair untuk merancakkan industri buku kanak-kanak tempatan,” katanya.

Berlangsung sehingga Ahad ini di Kompleks PKNS di sini, pesta buku anjuran PPAS itu menawarkan pelbagai jenis buku dengan diskaun menarik selain dimeriahkan aktiviti untuk seisi keluarga selain menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 sepanjang lima hari berlangsung.

EXCO Belia Najwan Halimi bersama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad ketika Pelancaran Baca Basikal Buku sempena Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
EXCO Belia Najwan Halimi melawat rerurai ketika Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

 


Pengarang :