Ketua Pemasaran Sime Darby Property Berhad, Datuk Lai Shu Wei (tengah kanan) menyampaikan anugerah kepada Pengarah Urusan KDEBWM, Dato’ Ramli Mohd Tahir (tengah kiri) pada majlis Anugerah PC.Com 2024 di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 24 Julai 2024. ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

iClean Selangor, pusat kitar semula pandu lalu KDEBWM terima pengiktirafan

PETALING JAYA, 25 JULAI: Dua inovasi dibangunkan KDEB Waste Management (KDEBWM) iaitu aplikasi iClean Selangor dan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ATDReC) menerima pengiktirafan dalam Majlis Anugerah PC.Com 2024, malam tadi.

Aplikasi iClean Selangor yang diperkenal pada 2016 dinobat Aplikasi Perkhidmatan Awam Terbaik manakala ATDReC yang dilancar Mac lalu diiktiraf sebagai Pembekal Perkhidmatan Kitar Semula Inovatif Terbaik.

Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata pengiktirafan itu menyemarakkan semangat pihaknya untuk terus menggalakkan inovasi dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

“Tidak ada hadnya bagi kami di KDEBWM dalam memastikan segala usaha penambahbaikan agar perkhidmatan kepada pengguna lebih cekap.

“Kita cuba sebaik mungkin untuk berikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna sama ada melalui penggunaan AI (kecerdasan buatan) atau inovasi lain untuk menambahkan keberkesanan daripada segi perkhidmatan, pengurusan data, rekod dan sebagainya.

Pengarah Urusan KDEBWM, Dato’ Ramli Mohd Tahir ditemui media pada majlis Anugerah PC.Com 2024 di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 24 Julai 2024. ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

“Kami komited untuk membangunkan dan memberi penyelesaian lebih mesra pengguna dan berkesan untuk pengurusan sisa dan kitar semula di Selangor,” katanya ditemui selepas Majlis Anugerah PC.Com di Hotel Sunway Resort di sini semalam.

Perasmian majlis anugerah PC.Com disempurnakan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Anugerah anjuran majalah PC.Com itu diiktiraf sebagai anugerah berprestij dalam kalangan penggiat industri yang mana pemenang dinilai oleh panel majalah PC.Com melalui borang kajian yang dihebahkan melalui laman sesawang dan platform media sosial bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai kategori anugerah.

iClean Selangor adalah aplikasi yang membolehkan penduduk di Selangor membuat sebarang aduan mengenai kutipan sisa pepejal sama ada sampah domestik, pukal atau pembersihan awam.

Tahun lalu, aplikasi ini turut memenangi anugerah Aplikasi Perkhidmatan Awam Terbaik sempena majlis Anugerah PC.Com edisi ke-23.

ATDReC adalah pusat kitar semula pandu lalu automatik dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan beroperasi 24 jam bagi menjadikan kitar semula lebih mudah diakses komuniti.

Ia menyediakan kemudahan mengitar semula barangan seperti kertas, surat khabar lama, botol plastik dan wayar.

 


Pengarang :