Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman pada sidang media Kajian Landskap Persepsi Rakyat Menjelang PRK DUN Sungai Bakap di Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam pada 03 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

IDE: Calon Kerajaan Perpaduan diramal menang di Sungai Bakap

SHAH ALAM, 4 JULAI: Calon Kerajaan Perpaduan diramal menang pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dengan lebih 12,000 undi.

Hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) itu bagaimanapun menyatakan Dr Joohari Ariffin boleh meraih kemenangan sekiranya peratusan jumlah keluar mengundi semua kaum mencapai 60 peratus.

Pengerusi Eksekutif IDE Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata berdasarkan tiga simulasi dijalankan, jumlah peratusan keluar mengundi pada PRK Sungai Bakap sekitar 60 ke 65 peratus.

“Kajian yang kita buat sebelum ini menunjukkan pengundi tidak berminat untuk keluar mengundi apabila PRK seperti Sungai Kandis, namun di sini (Sungai Bakap) menunjukkan ramai minat.

“Kita jangka jumlah keluar mengundi sekitar 60 ke 65 peratus… dengan angka ini Pakatan Harapan (HARAPAN) boleh menang dengan undi lebih 12,000 atau majoriti 2,403. Malah, HARAPAN berpeluang menang jika berjaya tarik sokongan 36 peratus undi Melayu.

“Namun, Sungai Bakap merupakan kawasannya luar bandar dan kelebihan Perikatan Nasional lebih baik kerana mereka mampu membawa keluar semua pengundi,” katanya pada pembentangan Kajian Landskap Persepsi Rakyat Menjelang PRK DUN Sungai Bakap.

Calon Perpaduan Dr Joohari Ariffin berucap selepas menyempurnakan Peluncuran Iltizam Cikgu Joohari sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Padang Lalang Taman Tasek Indah pada 29 Jun 2023. Foto BERNAMA

Mohammad Redzuan memaklumkan kajian tersebut dijalankan selama empat hari bermula 19 hingga 22 Jun lalu membabitkan 786 responden secara bersemuka di lapan daerah mengundi.

Jelas beliau, kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjadi antara faktor kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di Sungai Bakap.

“Berdasarkan kajian, kepimpinan perdana menteri itu mempengaruhi sokongan pengundi terhadap HARAPAN dan Barisan Nasional dengan 63.9 peratus selain merupakan pemimpin yang mampu menyatupadukan kepelbagaian kaum di Malaysia.

“Selain itu, paling ketara beliau dapat sokongan besar adalah isu berkaitan memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan penglibatan di peringkat antarabangsa yang melebihi 55 peratus,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandang Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN sebelum ini, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.


Pengarang :