BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Iktibar Karbala, pengorbanan jalan tegakkan keadilan, kemanusiaan

Setibanya Saidina al-Husayn di al-Karbala, beliau bertanya pengikutnya: “Apakah nama tempat ini?” Mereka menjawab: “Karbala.” Lalu al-Husayn berkata: Karb (petaka) dan Bala (bencana).

Beliau menunaikan solat subuh pada Jumaat iaitu hari kesepuluh Muharam. Terdapat 32 pengikutnya yang menunggang kuda, sementara 40 lagi berjalan kaki.

Al-Husayn menunggang kudanya, mengambil mushaf dan meletakkan di antara dua tangannya. Anakandanya yang sedang sakit dan lemah, ‘Ali bin al-Husayn juga menunggang kuda.

Beliau memperingatkan kepada orang ramai tentang kelebihan leluhurnya dan ketinggian kedudukannya. Beliau berkata: “Hitunglah dirimu, adakah kamu berhak memerangi insan sepertiku, sedangkan aku adalah cucunda kepada Rasulullah SAW?”

Al-Hur bin Yazid al-Riyahi, meluru ke arah kuda al-Husayn, bertaubat lalu berpindah dari pasukan Yazid dan menyertai pasukan cucunda Nabi SAW. Beliau berterusan berperang hingga terbunuh.

Shamir Zi al-Jaushan, panglima tentera Yazid pula berterusan dalam kejahatan. Dia membunuh al-Husayn sendiri setelah tentera lain berlengah-lengah daripada membunuhnya.

Al-Husayn terbunuh pada hari tersebut bersamaan 10 Muharam tahun 61 Hijrah. Bilangan sahabatnya yang terbunuh ialah 72 orang. Sebanyak 17 daripada anak keturunan ibundanya, Saidatina Fatimah binti Rasulullah telah terbunuh.

Setelah peristiwa berdarah itu, Yazid hanya berada di tampuk kuasa selama empat tahun sahaja dan meninggal pada bulan Rabiulawal tahun 64 Hijrah.

Legasi pemerintahan dalam Dinasti Umayyah selepas itu beralih kepada keluarga Marwan bin al-Hakam, sehingga akhirnya diambil alih oleh Dinasti ‘Abbasiyyah. Demikian sifat kekuasaan yang direbutkan, tidak kekal dan pantas beralih tangan.

Kisah Karbala dan pembunuhan al-Husayn tidak hanya diberi perhatian khusus oleh pengikut Syiah sahaja. Malah, ulama Sunni sejak zaman berzaman menyebelahi al-Husayn dan mengecam tindakan Yazid.

Setelah menyebut babak-babak genting dari peristiwa Karbala, ulama terkemuka India, Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi dalam bukunya, al-Murtada menyenaraikan pandangan ulama Sunni terhadap Yazid. Mereka berlepas diri daripada Yazid dan panglima perangnya terutama Ibn Ziyad, ‘Umar bin Sa’d dan Shamir.

Antaranya ialah Imam Ahmad bin Hanbal yang pernah ditanya oleh anaknya tentang kelompok yang menyebut bahawa mereka mencintai Yazid. Ahmad menjawab: “Anakku, adakah Yazid dicintai oleh seseorang yang beriman dengan Allah dan Rasulullah?”

Al-Sirhindi pula menyebut bahawa Yazid yang terhalang daripada kebahagiaan dan pertolongan tuhan termasuk dalam kalangan orang fasik.

Bukan itu saja, malah Imam Ibn al-Jawzi pernah mengarang satu buku yang membantah seorang ulama zamannya bernama ‘Abd al-Mughith al-Hanbali yang mengarang buku tentang kelebihan Yazid. Ibn al-Jawzi mengarang buku berjudul Bantahan Terhadap Pentaasub Tegar Yang Menghalang Dari Mencela Yazid (al-Radd ‘Ala al-Muta’assib al-‘Anid ‘Ala Mani’ Min Dhamm Yazid).

Pengajaran

Melalui peristiwa menyayat hati ini, kita mempelajari bahawa jalan menegakkan keadilan dan nilai-nilai kemanusiaan bukan suatu yang mudah. Pengorbanan yang tinggi dan perjuangan yang berterusan diperlukan.

Dalam buku beliau tentang Saidina al-Husayn, ‘Abbas Mahmud al-‘Aqqad, sasterawan terkemuka Arab menyebut orang yang sudah terpengaruh dengan penilaian menang-kalah keduniaan akan sukar memahami kemuliaan nurani dan keterhormatan perjuangan Saidina al-Husayn.

Misinya mempertahankan kebenaran dan keadilan sebagai suatu yang tidak boleh dikompromi. Malah itulah maksud beliau sebagai sayyid al-shuhada’ (penghulu para syuhada) sebagaimana disebut oleh datuk beliau, Rasulullah SAW.

Hal ini mengingatkan saya dengan hujah pemikir besar abad ke-19, al-Kawakibi yang mempertahankan keberanian dan keteguhan al-Husayn. Al-Kawakibi mengkritik Ibn Khaldun yang berpandangan al-Husayn -meski diperakui berada di pihak yang benar-tidak wajar keluar kerana mempunyai akar umbi yang tidak kuat ketika itu.

Meski potensi untuk mendapat kemenangan tipis, malah hakikatnya gerakan al-Husayn dan cucu-cicitnya selepas kewafatannya juga tewas dek kekuatan kuasa dan harta Bani Umayyah, namun ada pengajaran berharga daripada perjuangan tersebut.

Antaranya menurut Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi ialah memelihara kemuliaan sejarah Islam. Kalau tidak kerana siri perjuangan luhur yang tewas itu, maka sejarah Islam tinggal menjadi kisah sikap keakuan dan kebendaan.

Ia juga hanya menjadi kisah pemerintah-pemerintah yang bersikap kuku besi serta kisah kelompok oportunis yang hanya tunduk patuh.

Suatu lagi pengajaran berharga Karbala ialah bagaimana umat Islam boleh menggunakan pendekatan pemilihan pemerintah tanpa menumpahkan darah.

Muhammad al-Ghazali pernah menyebut suatu yang menarik dalam bukunya al-Fasad al-Siyasi:

“Kita andaikan jika keluarga Umayyah yang diketuai Mu’awiyah ada satu parti politik yang punya peraturannya, manakala keluarga Ahlil Bayt yang diketuai Saidina ‘Ali pula ada parti lain. Salah satu pihak mungkin akan berjaya atau gagal menjadi pemerintah menerusi sebuah pilihanraya adil. Apa yang akan berlaku? Seseorang yang berlagak pandai berkata kepadaku: “pilihanraya adalah bidaah,” aku pun membalas kepadanya, “jadi adakah pertumpahan darah itu sunnah?”

Ya ada kekurangan, tetapi sekurang-kurangnya kebebasan politik diberikan, pemimpin tidak berasas dinasti dan manusia bertelingkah dengan lisan tanpa ada darah ditumpahkan. Tidakkah kita terfikir, kebebasan politik di banyak tempat hari ini subur antaranya daripada titisan darah Saidina al-Husayn di Karbala satu masa lalu?

*** Marwan adalah penulis dan penterjemah lulusan Universiti Yarmouk, Jordan dan Universiti Sains Islam Malaysia 

 


Pengarang :