Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Jajaran Rel Selangor buka potensi ekonomi pekan kecil

SHAH ALAM, 4 JULAI: Jajaran Rel Selangor berupaya membangunkan potensi ekonomi beberapa pekan kecil di utara Selangor, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau memberitahu jajaran pantai barat itu berpotensi untuk membangunkan Kapar, Jeram, Kuala Selangor, Sekinchan dan Sabak Bernam, malah memberi manfaat di kawasan sempadan Perak.

“Usaha ini akan melengkapi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Selangor dengan Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” katanya ketika membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di sidang Dewan Negeri Selangor pada 4 Julai.

Amirudin menambah kewujudan Jajaran Rel Selangor dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sabak Bernam itu bertujuan menyeimbang pembangunan bandar dan luar bandar.

Katanya, usaha itu juga menyokong usaha untuk mengembangkan jaringan transit aliran ringan (LRT) selain memperkukuh ketersambungan batuan akhir (last-mile) melalui perkhidmatan bas.

Dalam Belanjawan Selangor 2024, Kerajaan Negeri mengumumkan kajian kebolehlaksanaan Jajaran Rel Kita Selangor di pantai barat negeri melalui peruntukan RM3 juta.


Pengarang :