Pemimpin tertinggi Hamas Ismail Haniyeh bercakap semasa sidang media di Tehran, Iran, pada 26 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Jakim adakan solat jenazah ghaib buat pemimpin Hamas Ismail Haniyeh

SHAH ALAM, 31 JULAI: Seluruh masjid bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat jenazah ghaib berikutan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dibunuh dalam serangan udara Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata arahan dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Datuk Mohd Ajib Ismail.

“Saya kini berada di Kaherah dan arahan telah dibuat. Kita dapatkan maklumat dulu. Jika dah dimandikan, saya minta semua masjid Jakim dan Jawi untuk mengadakan solat ghaib,” kata Datuk Mohd Na’im Mokhtar kepada Sinar Harian.

Terdahulu, agensi berita antarabangsa melaporkan Ismail terbunuh dalam serangan udara Israel, yang menyasar kediamannya di Tehran dan turut menyebabkan seorang pegawainya syahid.

Televisyen Iran juga melaporkan kematian ketua biro politik Hamas itu, menyatakan siasatan mengenai pembunuhan terbabit sedang dijalankan dan keputusan akan diumumkan kelak.

Ismail berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu republik Islam itu Masoud Pezeshkian pada Selasa.

Biodata

  • Nama: Ismail Haniyeh
  • Umur: 62 tahun
  • Terbunuh: 31 Julai 2024 di Tehran, Iran
  • Lahir: 29 Januari 1962 di kem pelarian Al-Shati, Gaza
  • Pendidikan: Universiti Islam Gaza jurusan Kesusasteraan Arab
  • Keluarga: 13 anak (tiga terbunuh dalam serangan 10 April 2024), kakak terbunuh Jun 2024. Kira-kira 60 ahli keluarga dan saudara-mara terbunuh
  • Jawatan: Ketua Biro Politik Hamas (mulai Mei 2017)

Pengalaman:

  • Perdana menteri Pihak Berkuasa Palestin di Gaza (2006-2007)
  • Menjadi guru selepas tamat belajar

Pembabitan dalam Hamas:

  • Pemimpin mahasiswa ketika di universiti (1981)
  • Sertai Hamas sejak diasaskan (1988)
  • Dipenjara oleh Israel 1988 (enam bulan) dan 1989 (tiga tahun)
  • Setiausaha pengasas Hamas Sheikh Ahmad Yassin (terbunuh 2004)

Disediakan ABDUL RAHIM SABRI
Sumber: Encyclopedia Britannica & The Muslim 500: The World’s Most Influential Muslims

 


Pengarang :