Pengarah Operasi Yayasan Rose Yam Mun Li memberi penerangan kepada peserta ketika program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Barah Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jalani saringan, pengesanan awal penting perangi barah – Dr Dzulkefly

SHAH ALAM, 4 JULAI: Rakyat Malaysia disaran menjalani saringan barah kerana pengesanan awal penting dalam memerangi penyakit itu, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya giat melaksanakan pelbagai usaha bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap saringan awal termasuk promosi aktiviti saringan di media sosial.

“Lima jenis barah utama berlaku dalam kalangan wanita negara ini adalah payudara, kolorektal, paru-paru, korpus uteri dan ovari manakala bagi lelaki adalah kolorektal, paru-paru, prostat, hati dan limfoma,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin yang ingin tahu tindakan kerajaan meningkatkan jumlah saringan barah dalam kalangan wanita dan lelaki di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Dzulkefly perkhidmatan saringan barah yang disediakan di klinik kesihatan seluruh negara turut merangkumi saringan kolorektal dengan 53,679 ujian dijalankan tahun lalu.

“Selain itu (tahun lalu) melalui Program Pengesanan Awal Saringan Kanser Payudara, seramai lebih 1.7 juta wanita berusia 20 hingga 65 tahun menjalani pemeriksaan klinikal payudara di klinik kesihatan dan klinik desa seluruh negara.

“Saringan barah pangkal rahim melalui ujian calitan pap (pap smear) dan HPV turut dijalankan kepada 364,689 wanita berumur 30 hingga 65 tahun tahun lalu,” katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan kerajaan memandang serius isu kekurangan pakar perubatan barah atau pakar onkologi di fasiliti Kementerian Kesihatan.

“Sehingga Jun 2024 terdapat 68 pakar onkologi di fasiliti Kementerian Kesihatan serta pusat onkologi (rawatan sistemik dan radioterapi) di tujuh hospital kerajaan dan tiga hospital universiti,” katanya.

 


Pengarang :