Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli bersantap di Warung Ketupat Kampung Permatang ketika program Gagasan Rumpun Selangor daerah Kuala Selangor pada 10 Julai 2024. ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah Rumpun Selangor diteruskan, Raja Muda dekati rakyat Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 10 JULAI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor memulakan siri jelajah Rumpun Selangor bagi daerah Kuala Selangor hari ini dengan bersantap di Warung Ketupat Kampung Permatang di sini.

Sambil menikmati aneka juadah seperti ketupat, rendang dan sate, Tengku Amir Shah dihiburkan dengan persembahan dabus dari penduduk Kampung Kuantan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan persembahan dabus seusai bersantap di Warung Ketupat Kampung Permatang ketika program Gagasan Rumpun Selangor daerah Kuala Selangor pada 10 Julai 2024. ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

Diiringi EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail, Baginda kemudian mendengar taklimat gerak kerja dan rancangan pembangunan daripada pejabat daerah dan tanah, pejabat pendidikan, pejabat kesihatan dan ketua polis daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor.

Baginda turut dijadual mengikuti aktiviti memanah dan berkuda serta berkunjung ke pasar Malam Saujana Utama selain ke Sky Mirror pada malam ini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama penduduk ketika program Gagasan Rumpun Selangor daerah Kuala Selangor pada 10 Julai 2024. ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

Keesokan harinya, Raja Muda Selangor dijadual mencemar duli ke Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Selangor di Stadium Kuala Selangor.

Baginda juga dijadual menyaksikan pertandingan wau kapal dan berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang selain berangkat ke Kelip-Kelip Kampung Kuantan serta Rumah Api Bukit Melawati.

Pada Jumaat pula, Tengku Amir Shah bakal menyerahkan sumbangan baja kepada pesawah, menaiki belon panas, menziarahi Makam Diraja Bukit Melawati serta menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Jannah Kampung Haji Razali, Tanjung Karang.

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.

Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.

Gagasan Rumpun Selangor telah menjelajah ke empat daerah bermula Februari lalu dimulakan dengan Hulu Selangor diikuti Hulu Langat, Sepang dan Petaling.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperuntukan RM4.5 juta bagi menjayakan Gagasan Rumpun Selangor di sembilan daerah.


Pengarang :