SHAH ALAM, 1 JULAI: Penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sentiasa dinanti penduduk.
Ibu tunggal Irama Subramaniam, 57, berkata dia dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan dapur dengan membeli barangan keperluan asas di jualan murah berkenaan.
“JER ini sangat membantu jimatkan belanja beli barangan asas. Saya harap ia dapat dianjurkan lebih kerap,” katanya ditemui di JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara di Dapur Kinrara di sini.
Tang Sooi Far, 65, pula teruja membeli-belah di program JER kerana barang yang ditawarkan murah tetapi kualiti setanding barangan di pasaran luar.
“Saya sentiasa mengikuti Facebook PKPS untuk tengok bila JER dianjurkan terutama apabila ia diadakan berhampiran kediaman saya, setakat ini ada lebih 10 kali saya berkunjung ke JER.
“Suka membeli-belah disini kerana selain harga ditawarkan itu murah barangannya juga sangat berkualiti dan segar,” katanya .
Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya Ng Seow Chen berkata pihaknya bercadang mahu menganjurkan JER di DUN Kinrara sekurang-kurangnya dua kali sebulan agar lebih ramai dapat menikmati manfaatnya.
“Setakat ini rata-rata memberi maklum balas positif berkaitan jualan murah dan mereka harap ia diteruskan lagi. Kita cadang untuk anjur lebih kerap termasuk turut membuka kaunter berkaitan inisiatif negeri,” jelasnya.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.