SHAH ALAM, 32 JULAI: Program jualan murah barangan dapur kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan di empat lokasi esok, bermula jam10 pagi.
Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan di pekarangan Surau Al-Husna, Taman Medan Baru (Taman Medan) dan di tapak pasar malam Jalan Kluang, Kg Sg Pinang (Kapar).
Jualan sama turut diadakan di tapak pasar malam @ Ukay Perdana (Bukit Antarabangsa) dan Dewan Serbaguna Kg Sg Serdang (Sementa).
Inisiatif JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.
Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.