AGENDAJENAYAH

Kanak-kanak, dua remaja perempuan hilang dari rumah anak yatim sejak 28 Jun

SEREMBAN, 2 JUL: Seorang kanak-kanak dan dua remaja perempuan dari sebuah pusat jagaan anak-anak yatim milik badan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Pilah di sini dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan mereka yang berusia antara 11 hingga 14 tahun itu daripada pengurusan pusat jagaan terbabit kira-kira 10.30 malam, hari yang sama.

“Siasatan mendapati mereka merupakan anak kelahiran negeri ini. Usaha mengesan kesemuanya sedang giat dijalankan manakala butiran mereka turut didaftarkan dalam Sistem Nur Alert.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan waris telah dimaklumkan tentang perkara ini dan semua maklumat berkaitan sedang dikumpul bagi mengenal pasti punca mereka melarikan diri dari asrama selain tempat yang berkemungkinan dikunjungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata kes disiasat di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang manakala orang ramai diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Ruzaidi Ismail menerusi talian 012-364 8589 sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kanak-kanak serta dua remaja terbabit.

– BERNAMA


Pengarang :