Polis menemukan jenazah Zayn Rayyan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

KDN: Anggota, pegawai sebar siasatan dalaman diambil tindakan

ALOR GAJAH, 3 JULAI: Pegawai dan anggota penguat kuasa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diingatkan tidak menyebarkan kepada umum sebarang siasatan dalaman yang dilaksanakan mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pegawai atau anggota yang dikesan menyebarkan laporan siasatan dalaman boleh dihukum mengikut undang-undang sedia ada.

“Apa juga kesalahan dilakukan (oleh pegawai dan anggota penguat kuasa) tentulah tindakan akan diambil berasaskan kepada peraturan yang ada.

“Penting juga kepada rakyat, apa-apa isu diterima, rujuklah kepada saluran maklumat yang tepat, itu lebih baik,” katanya ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-52 peringkat Kebangsaan 2024 di Padang Kawad, Akademi RELA Malaysia (ALARM), Sungai Udang hari ini.

Beliau mengulas mengenai penyebaran beberapa foto yang dikatakan sebahagian daripada rekod siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata satu laporan polis dibuat pegawai penyiasat kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya Ahad lalu, susulan penyebaran beberapa gambar dikatakan mayat Zayn Rayyan di media sosial.

Beliau dipetik sebagai berkata laporan dibuat bersabit penyebaran dokumen siasatan yang akan digunakan dalam perbicaraan di mahkamah menerusi aplikasi Telegram.

– BERNAMA

 


Pengarang :