AGENDAJENAYAH

Keluarga kanak-kanak mangsa culik tidak kenal lima suspek

JOHOR BAHRU, 25 JULAI: Keluarga Albertine Leo Jia Hui, 6, yang hilang di pusat beli-belah di Iskandar Puteri Sabtu lalu, tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan kelima-lima suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes penculikan kanak-kanak itu.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata ibu bapa kanak-kanak itu juga tidak mengenali suspek kelima yang ditahan polis bersama anak mereka di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor, Selasa lalu.

“Tiada sebarang perkenalan atau hubungan antara keluarga dengan kelima-lima suspek termasuk yang ditangkap bersama mangsa. Bagaimanapun, motif penculikan dan hubungan antara kesemua suspek masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata reman terhadap empat suspek melibatkan dua lelaki dan dua wanita berumur 28 hingga 55 tahun itu tamat esok dan sekiranya tiada keperluan disambung reman, keempat-empat mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis.

Kumar berkata reman bagi suspek kelima iaitu lelaki berumur 31 tahun yang ditangkap bersama mangsa pula akan tamat pada Isnin depan dan proses siasatan masih berjalan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Berhubung pakaian suspek kelima ketika ditahan yang mengenakan baju festival Bon Odori Johor, Kumar berkata perkara itu tidak menunjukkan dia merupakan seorang peniaga di festival terbabit kerana baju itu boleh dibeli sesiapa sahaja yang berkunjung ke festival berkenaan.

Ditanya sama ada terdapat tangkapan baharu berhubung kes itu, beliau berkata masih terlalu awal untuk memuktamadkan perkara itu memandangkan proses siasatan masih berjalan.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang selalu memberi maklumat dan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya polis Johor untuk kita sama-sama memastikan Johor kekal selamat bagi semua pihak,” kata Kumar.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan sebelum ini dilaporkan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak itu yang disedari hilang oleh bapanya pada 8.30 malam Sabtu, di sebuah pusat beli-belah.

– BERNAMA


Pengarang :