BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Kereta elektrik tangani pencemaran, tidak atasi isu kesesakan

Pada tahun lepas, media melaporkan kerajaan akan memastikan setiap warganegara Malaysia berupaya memiliki kereta elektrik melalui bantuan kewangan dan subsidi bersasar.

Di Malaysia, pada 2022 sebanyak 3,400 unit kereta elektrik telah berdaftar. Angka ini meningkat setahun kemudian kepada 7,500 unit kereta elektrik berdaftar.

Kebelakangan ini, topik kereta elektrik mula mendapat tempat dalam kalangan orang awam walau kemunculannya bukanlah baharu.

Malah, kereta elektrik pilihan terawal dan begitu popular untuk menggantikan kuda pada lewat kurun ke-19 kerana lebih selesa dan mudah dikendalikan berbanding kereta petrol.

Kemajuan dalam pembuatan enjin pembakar gasolin dan kos pembuatan kereta petrol yang lebih murah menjadikan kereta elektrik tidak lagi menjadi pilihan.

Kekuatan kereta petrol ditambah dengan tempoh mengisi minyak yang lebih pantas berbanding mengecas bateri. Tidak popularnya kereta elektrik pada masa itu sehinggakan ramai orang tidak kenal pun dengan kereta elektrik ketika kurun ke-20 walau di negara membangun.

Sedikit pengenalan kereta elektrik. Kereta elektrik ialah kereta yang menggunakan motor elektrik untuk menghidupkan dan menggerakkan kereta.

Kereta petrol pula mempunyai enjin pembakar yang bertujuan untuk membakar minyak petrol lalu memberikan tenaga kepada kereta untuk hidup.

Kereta elektrik mempunyai bateri berkapasiti sekitar 80 kilowatt-perjam (kWh) untuk menghidupkan motor elektrik tersebut.

Bateri kereta elektrik ini pula berasaskan litium sama seperti bateri telefon pintar. Cuma terdapat kepelbagaian bateri litium bergantung pada syarikat pengeluar kereta elektrik.

Seperti barang elektrik lain yang memakai bateri iaitu kereta elektrik juga perlu dicas baterinya secara berkala.

Kereta petrol mempunyai bateri juga tetapi terhad untuk hidupkan enjin, lampu, pengelap cermin depan dan radio jika enjin dimatikan. Bateri kereta elektrik pula diguna pakai untuk setiap sistem tersebut.

Dari segi kecekapan, kereta elektrik lebih cekap berbanding kereta petrol. Kereta petrol hanya menggunakan sekitar 15 peratus sahaja tenaga yang dibakar untuk menggerakkan kereta. Tenaga selebihnya menjadi sisa haba.

Kereta elektrik pula menggunakan sekitar 77 peratus tenaga untuk menggerakkan kereta. Jadi, pembaziran sisa tenaganya lebih sedikit berbanding kereta petrol.

Disebabkan kereta elektrik menggunakan motor elektrik, ia tidak mengeluarkan asap seperti kereta petrol. Hal ini yang memberikan kereta elektrik sebagai kenderaan yang mesra alam sekitar dan dapat mengurangkan pencemaran udara.

Jika semakin ramai menggunakan kereta elektrik, kadar pencemaran daripada kenderaan dapat dikurangkan. Pada 2050, pengurangan pelepasan karbon oleh kereta elektrik dapat menyelamatkan lebih 1,000 nyawa setiap tahun di bandar besar Amerika Syarikat.

Berbanding dengan kereta petrol, kereta elektrik masih agak mahal. Dari segi kos pembuatan, bahagian paling mahal kereta elektrik ialah pada baterinya.

 

Tidak selesai kesesakan

 

Pada 2020, harga kos pembuatan kereta elektrik 45 peratus lebih mahal berbanding kereta petrol. Namun, kos pembuatan bateri sudah semakin menurun dari sekitar RM3,000 per kWh pada 2010 menjadi sekitar RM500 per kWh pada 2019.

Harga pembuatan kereta elektrik dijangka hampir setanding dengan kereta petrol menjelang 2030. Selain daripada kos, kereta elektrik masih memerlukan tempoh yang lama untuk mengecas penuh berbanding mengisi minyak.

Tambahan lagi, untuk sekali bateri penuh, kereta elektrik masih tidak dapat memandu lebih jauh berbanding kereta petrol untuk isi sekali penuh. Pada 2022, kereta petrol dapat mencecah jarak 1,231 kilometer. Manakala kereta elektrik hanya dapat mencapai maksimum 837 kilometer.

Kereta elektrik yang dapat berjalan dalam jarak jauh sekali cas, kosnya lebih mahal. Setakat ini, kereta elektrik Lucid Air merupakan kereta elektrik yang dapat berjalan dalam jarak paling jauh tetapi kos pembeliannya dapat mencecah RM400,000.

Seperti kos pembuatan, jarak maksimum kereta elektrik akan bertambah saban tahun dan akan menandingi kereta petrol.

Meski setakat ini kereta elektrik lebih mahal dari segi kos pembuatan dan pembelian, kos penjagaannya jauh lebih murah kerana barang-barang bergeraknya (moving parts) tidak banyak.

Dengan kata lain, tidak banyak barang kena dijaga. Bagaimanapun, disebabkan juruteknik kereta elektrik tidak ramai dan sukar untuk mendapatkan barang ganti, kos pembaikian lebih mahal jika berlaku sebarang kemalangan.

Kereta elektrik mungkin dapat menyelesaikan beberapa perkara seperti masalah pencemaran alam sekitar dan pemanasan global. Namun, kereta elektrik tidak akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya, masalah kemalangan dan masalah kelesuan ketika memandu.

Kelesuan ketika memandu perkara serius yang disumbangkan oleh memandu terlalu lama dan tidak cukup tidur.

Tidak cukup tidur dapat berpunca daripada kita bangun terlalu awal untuk menghadapi kesesakan jalan raya dan sampai di tempat kerja tepat pada waktunya.

Kelesuan ini boleh membawa kepada kemalangan. Selain itu, tidak dapat tidak, tekanan bukan sahaja berpunca di tempat kerja, malah dapat berpunca ketika memandu.

Penerimaan warga Malaysia berkenaan kereta elektrik amat pelbagai walau kereta elektrik mempunyai kelebihan tertentu.

Sebahagiannya menggesa kerajaan fokus pada meningkatkan kecekapan pengangkutan awam, bukan menggalakkan penggunaan kereta peribadi walaupun kereta elektrik.

Pengangkutan awam bukan sahaja dapat mengurangkan kemalangan dan kesesakan jalan raya, malah dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pelepasan karbon.

 


Pengarang :