Pemain Bolasepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kes Faisal Halim: Pejabat DNS hantar surat kepada polis, gesa tangkap pelaku

SHAH ALAM, 11 JULAI: Pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS) akan menghantar surat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa pihak yang menyimbah asid terhadap Faisal Halim ditangkap.

Speaker Lau Weng San berkata sidang dewan negeri meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet sukan selepas dipersetujui wakil rakyat kerajaan dan pembangkang

“Usul tergempar dibawa Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi berkaitan kezaliman terhadap Faisal Halim telah dibahaskan wakil rakyat dan diluluskan dewan negeri.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San ketika sidang media selepas penangguhan sidang DNS di Bangunan Annex, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR

“Pejabat DNS akan menulis surat kepada PDRM bahawa sidang dewan telah luluskan usul mengecam kejadian menimpa Faisal Halim selain mendesak siasatan dijalankan secara menyeluruh serta cepat,” katanya dalam sidang media di lobi Wisma DNS hari ini.

Ketika sidang DNS pada 5 Julai, ADN Seri Serdang membacakan usul tergempar mengecam tindakan yang mengancam keselamatan nyawa dan karier atlet terutama pemain bola sepak.

Usul berkenaan yang dibahaskan kira-kira lima wakil rakyat diluluskan oleh Timbalan Speaker DNS Kamri Kamaruddin sebelum sesi membahas Kajian Separuh Penggal RS-1 (KSP RS-1).

Dalam kejadian 5 Mei lepas, Faisal Halim atau lebih dikenali sebagai ‘Mickey’ melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara, Selangor.

Pada 4 Julai, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan pemain kebangsaan itu semakin pulih dan dijangka mula melakukan latihan larian minggu depan.

 


Pengarang :