Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) Mobi beroperasi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor galak khidmat van transit diteruskan, kekal caj RM2 satu perjalanan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajaan Negeri menggalakkan penyedia van transit atas permintaan (DRT) untuk meneruskan perkhidmatan itu sehingga hujung tahun dengan mengekalkan caj RM2 satu perjalanan.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata projek bermula November 2023 yang tamat hari ini akan diperhalusi dengan kaedah bersesuaian dan berhemah supaya rakyat Selangor terus mendapat manfaat.

“Susulan penamatan projek rintis ini, Kerajaan Negeri menggalakkan penyedia perkhidmatan van DRT meneruskan projek ini dan mengekalkan kadar yang sama iaitu RM2 untuk satu perjalanan di zon sedia ada hingga Disember ini.

“Kerajaan Negeri sedang memperhalusi kaedah yang bersesuaian dan berhemah supaya rakyat Selangor dapat terus menikmati kemudahan perkhidmatan van DRT ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sze Han menjelaskan pelaksanaan projek rintis van DRT sepanjang lapan bulan sejak 22 November tahun lalu menerima maklum balas positif selain turut mendapat permintaan agar diteruskan.

“Kerajaan Negeri menerima permohonan untuk memperluaskan perkhidmatan van DRT ini supaya dapat membantu agenda pemerkasaan pengangkutam awam di Selangor.

“Jawatankuasa Tetap Mobiliti Selangor akan melaksana kajian terperinci terhadap dapatan projek rintis sebelum membentangkan laporan tersebut dan mencadangkan pelaksanaan penuh perkhidmatan van DRT di Selangor kepada pihak berkuasa negeri,” katanya.

Sepanjang tempoh lapan bulan, syarikat penyedia perkhidmatan van DRT yang dilantik telah beroperasi di lapan zon yang ditetapkan bagi tujuan pengumpulan data penumpang dan trend penggunaannya.

Sebelum ini, Sze Han berkata van DRT mencatatkan hampir 54,000 pengguna setakat Jun, bagi menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor ke laluan sempit dan penduduk ramai.

Sasaran tumpuan adalah kawasan berdekatan pengangkutan awam utama seperti rel dan stesen bas bagi melengkapi perbatuan pertama dan terakhir (first mile and last mile).


Pengarang :