Kakitangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memotong sumber bekalan air sebuah premis kolam pancing di Jalan Bagan Hailam, Kawasan Perindustrian Selat Klang Utara, Pelabuhan Klang yang dikesan membuat penyambungan bekalan secara tidak sah dalam serbuan pada 25 Julai 2024. Foto AZRIN MUHAMMAD/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Kolam memancing curi bekalan air diserbu, nilai kerugian dianggar RM110,000

Oleh AZRIN MUHAMMAD

KLANG, 25 JULAI: Sebuah premis kolam memancing di Jalan Bagan Hailam, Kawasan Perindustrian Selat Klang, di sini dikesan membuat penyambungan bekalan air secara tidak sah bagi kegunaan di premis berkenaan.

Kegiatan pemilik premis mencuri bekalan air itu dibongkar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam serbuan mengejut sekitar jam 10 pagi tadi.

Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna SPAN Mohd Fazil Ismail berkata premis terbabit menggunakan paip HDPE berukuran 25 mm secara terus kepada paip utama Air Selangor.

“Berdasarkan tinjauan dan penelitian Air Selangor bersama SPAN serta ujian klorin yang dibuat ditapak itu mendapati air yang diambil adalah air terawat milik Air Selangor.

“Kita yakin pengambilan air secara tidak sah ini dipercayai berlaku sejak setahun lalu dengan jumlah penggunaan sebanyak 37,000 meter kubik dengan anggaran nilai kerugian RM110,000.

“Air Selangor juga mendapati, panjang paip daripada sambungan tersebut kira-kira 70 meter yang melangkaui dua kolam memancing di situ,” katanya dalam siding media selepas serbuan berkenaan.

Kakitangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjalankan ujian klorin terhadap air daripada sambungan bekalan secara tidak sah di tepi sebuah premis kolam memancing di Jalan Bagan Hailam, Kawasan Perindustrian Selat Klang Utara, Pelabuhan Klang pada 25 Julai 2024. Foto AZRIN MUHAMMAD/MEDIA SELANGOR

Mohd Fazil berkata pihaknya memotong bekalan air di premis berkenaan dan sambungan semula hanya dilakukan setelah pemilik premis menjelaskan tunggakan kepada Air Selangor.

Menurutnya, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 123(1) dan Seksyen 123(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya lagi, sejak awal tahun hingga Jun lalu, SPAN telah mengesan sebanyak 42 kes penyambungan bekalan air terawat secara tidak sah di seluruh negara dengan 20 kes telah diselesaikan.


Pengarang :