Skrin telefon pintar memaparkan ikon beberapa aplikasi media sosial. Foto SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Komen jelik di siaran ulangan sesi Parlimen, dua lelaki disiasat

PUTRAJAYA, 16 JULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat dua lelaki yang dipercayai mengeluarkan komen jelik dan bersifat provokatif menerusi siaran ulangan sesi Parlimen di platform TikTok pada 9 Julai lepas.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan pihaknya sudah merakam percakapan kedua-dua individu berkenaan pada semalam selepas menerima aduan orang awam.

MCMC juga menyerahkan Notis Kehadiran kepada kedua-dua lelaki itu mengikut tatacara ditetapkan.

“Kad sim dan telefon pintar milik kedua-dua suspek yang digunakan untuk memuat naik komen jelik itu disita bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Seksyen itu melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

MCMC memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial serta mengingatkan orang ramai untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran serta komen yang bertentangan dengan undang-undang negara.

-BERNAMA


Pengarang :