Sukan Olimpik Paris 2024 dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos. Foto Facebook Bernama Radio
AGENDANASIONAL

Kontinjen Malaysia bergaya dengan rekaan Rizman Ruzaini di Olimpik Paris

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kontinjen Malaysia bakal bergaya dengan busana bertemakan baju melayu rekaan Rizman Ruzaini pada upacara perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini dan busana yang akan dipakai pada perarakan pembukaan Olimpik itu bakal diperkenalkan kepada umum tidak lama lagi.

Jenama Rizman Ruzaini menerusi gandingan Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil baru-baru ini mencipta sensasi apabila mereka busana bagi penyanyi terkenal, Lady Gaga untuk persembahan di Las Vegas.

Hamidin ditemui pemberita ketika majlis memperkenalkan jenama Skechers selaku kasut rasmi kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024 dengan nilai tajaan sejumlah RM194,290 di Wisma OCM di sini hari ini.

Olimpik Paris dijadualkan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Sementara itu, Hamidin percaya keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk memilih jaguh pecut Muhammad Azeem Mohd Fahmi berbanding pelari 400 meter (m) wanita Shereen Samson Vallabouy untuk slot wild card tunggal olahraga ke Paris sebagai keputusan tepat.

Beliau turut berharap Muhammad Azeem, pemegang rekod kebangsaan acara 100 m lelaki dengan masa 10.09 saat, untuk mencatatkan masa yang lebih pantas di temasya berkenaan walaupun peluang untuk mencabar pingat adalah tipis.

Mengulas mengenai persiapan kontinjen negara, dengan lebih separuh daripada 26 atlet bakal membuat penampilan pertama, Hamidin berkata semua persiapan berjalan lancar setakat ini.

“Saya lihat semua berada dalam keadaan baik dan bebas kecederaan, cuma beregu wanita Pearly Tan baru sembuh daripada influenza. Saya harap mereka kekal fokus sehingga ke Paris.

“Walaupun ramai atlet baharu, kalau kita lihat atlet seperti Mohamad Aniq Kasdan, Bertrand Rhodict Lises dan Ariana Nur Dania Mohamad Zairi pergi dengan keyakinan tinggi. Mereka sendiri mahu mencabar untuk pingat, dan kita harap untuk dapat seberapa banyak pingat yang boleh walaupun saiz kontinjen kecil,” katanya.

Hamidin berkata Institut Sukan Negara (ISN) akan memantapkan lagi prosedur keselamatan atlet, susulan insiden pemain badminton muda China, Zhang Zhi Jie meninggal dunia selepas rebah di gelanggang semasa Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, Ahad lepas.

– BERNAMA


Pengarang :