Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan STPM dan MUET 2023 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia pada 23 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENDANASIONAL

KPM bimbing pentadbir sekolah ikut garis panduan terima sumbangan

GOMBAK, 23 JULAI: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membimbing pentadbir institusi di bawahnya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata KPM sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan pelbagai pihak selagi mematuhi garis panduan ditetapkan memandangkan sekolah adalah institusi milik masyarakat.

“Siasatan sedang dijalankan berkaitan sumbangan syarikat arak itu. KPM ingin memastikan bahawa jika sumbangan itu tidak mematuhi garis panduan sedia ada, kita akan bimbing.

“Bimbingan supaya proses pemberian sumbangan dapat dilaksanakan dengan baik dan lagi banyak sumbangan dapat disalurkan kepada pihak sekolah.

“Nasihat saya patuhi garis panduan itu dan juga sekolah mesti memastikan bahawa penerimaan sumbangan dan pelaksanaan program di bawah tanggungjawab di peringkat pentadbir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), di sini hari ini.

Jumaat lalu, tular sekeping gambar program penganjuran majlis kutipan dana di sebuah sekolah melibatkan syarikat pengeluar minuman keras.

Penerima Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan STPM dan MUET 2023 bergambar di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia pada 23 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Semalam, KPM memaklumkan pentadbir di institusi pendidikan perlu mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

KPM menjelaskan garis panduan itu antaranya melarang sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“KPM mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat.

“Namun ini perlu dilaksanakan berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018,” menurut kenyataan itu.


Pengarang :